Sabtu, 3 Februari 2024 | 4:27pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta kongres pada perasmian Kongres PKS Keempat anjuran Dewan Perniagaan Dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Menara Matrade Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta kongres pada perasmian Kongres PKS Keempat anjuran Dewan Perniagaan Dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Menara Matrade Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

KUSKOP jamin bantu mudahkan usahawan PKS kembangkan perniagaan - Ramanan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi jaminan untuk membantu memudahkan pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan lagi pernigaan mereka, termasuk dari aspek pembiayaan kewangan.

Timbalan Menterinya, Datuk R Ramanan, berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti isu-isu penting yang dihadapi PKS yang memerlukan perhatian kerajaan susulan sesi perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN).

"Saya sudah dengar dengan mendalam, antara masalah dihadapi semua PKS adalah bagaimana mereka boleh membangunkan (kembangkan) perniagaan mereka, dalam aspek untuk dapatkan bantuan (kewangan), infrastruktur dan jalinan hubungan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres PKS Keempat anjuran MIMCOIN di sini, hari ini.

Beliau percaya Kerajaan MADANI menerusi pelbagai agensi seperti SME Corp, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berupaya membantu PKS berkenaan dari aspek pembiayaan kewangan, bimbingan keusahawanan, geran sepadan dan jalinan hubungan.

Mengenai perbincangannya dengan MIMCOIN berkenaan pelbagai isu dihadapi PKS, beliau berharap MIMCOIN boleh menjadi badan penghubung antara kementeriannya dan pemain-pemain PKS dalam mengatasi apa juga permasalahan yang dihadapi.

"MIMCOIN sekarang mempunyai lebih 1,000 SME di bawahnya, jadi jika boleh MIMCOIN ini menjadi jurucakap kepada mereka (usahawan PKS) untuk membawa isu-isu yang dihadapi ke KUSKOP dan agensi-agensi berkaitan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ramanan berkata, Kongres PKS itu adalah platform terbaik dalam berkongsi ilmu berhubung keusahawanan, motivasi dan meningkatkan rangkaian hubungan antara pemain industri PKS.

Yang turut hadir, Pengerusi The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL), Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther, Presiden MIMCOIN Datuk Jamarulkan M.S Kadir dan Pengerusi Penganjur Kongres PKS Keempat Datuk Abdul Hamid PV Abdu. - BERNAMA

Berita Harian X