Sabtu, 3 Februari 2024 | 3:40pm

BAP babitkan peruntukan RM700 juta selesai diagihkan 11 Februari ini

NIBONG TEBAL: Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2024 yang membabitkan peruntukan RM700 juta dijangka selesai diagihkan pada 11 Februari ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bantuan itu membabitkan lima juta pelajar seluruh negara yang disalurkan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek BAP Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Fadhlina mengingatkan pihak sekolah tidak boleh memotong wang BAP walaupun untuk bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Jelasnya, soal bayaran PIBG adalah perkara lain dan wang BAP itu adalah sepenuhnya untuk kegunaan ibu bapa dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Media sebelum ini melaporkan terdapat rungutan daripada ibu bapa apabila bantuan BAP dipotong pihak sekolah untuk bayaran tertentu.

Hal ini berdasarkan perkongsian seorang individu di laman sosial yang mendakwa anaknya hanya menerima RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan bantuan terbabit.

Semalam, Fadhlina meminta ibu bapa yang tidak menerima sepenuhnya bantuan sebanyak RM150 daripada pihak sekolah melaporkan perkara itu kepada kementerian.

Berita Harian X