Sabtu, 3 Februari 2024 | 3:25pm
Ruslin (tengah) ketika sidang media susulan 131 tahanan PATI melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor malam kelmarin. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Ruslin (tengah) ketika sidang media susulan 131 tahanan PATI melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor malam kelmarin. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin

Jejak tahanan lolos ditumpukan di kawasan penempatan warga asing

TAPAH: Jabatan Imigresen Malaysia kini fokus membuat risikan di kawasan penempatan pendatang asing kerana berkemungkinan tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor berlindung atau menyembunyikan diri di kawasan terbabit.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata kawasan berkenaan membabitkan kawasan di sekitar Tapah termasuk perkampungan Orang Asli.

Katanya, tahanan berkemungkinan juga akan pergi ke tempat bangsa, keturunan dengan mereka atau rakan sudah dikenali sebelum ini untuk meminta bantuan.

"Saya memberi amaran jangan sesekali memberi bantuan kepada tahanan terbabit termasuk warga asing yang cuba melindungi tahanan terbabit.

"Itulah sebabnya fokus kita kini di tempat penempatan warga asing kerana kita menjangkakan tahanan terbabit akan ke tempat berkenaan untuk melindungi diri.

Berkenaan operasi menangkap tahanan yang lolos dari depoh terbabit yang masuk hari ketiga, Ruslin berkata, radius pencarian semakin luas dan Jabatan Imigresen akan meningkatkan jumlah anggota sehingga 450 orang menjelang esok yang membabitkan pegawai dari seluruh negara.

Katanya, hasil dapatkan risikan dan maklumat, pihaknya mendapati saki-baki tahanan yang melarikan diri dari depoh semakin berpecah untuk mengelak dikesan oleh pihak anggota keselamatan.

"Walaupun tahanan terbabit mulai berpecah untuk menyelamatkan diri, masih lagi dalam radius pencarian dalam operasi terbabit.

"Tahanan juga dipercayai akan berlindung di rumah kosong, balai raya dan juga masjid dan surau yang sudah tentu mempunyai bekalan air," katanya pada sidang media di perkarangan Depoh Imigresen Sementara Bidor, hari ini.

Beliau turut berharap orang awam terus menghubungi pihak polis berdekatan jika ternampak saki-baki tahanan yang lolos dari depoh di tempat kawasan awam atau sebagainya.

Berita Harian X