Sabtu, 3 Februari 2024 | 3:23pm
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (lima kiri) bersama penduduk FELDA Bukit Goh, dekat Kuantan pada Program Jiwa MADANI, hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (lima kiri) bersama penduduk FELDA Bukit Goh, dekat Kuantan pada Program Jiwa MADANI, hari ini.

Pengaktifan CRE berhasil, panggilan suara terputus catat penurunan

KUANTAN: Pengaktifan fungsi `Call Reestablishment' (CRE) untuk liputan LTE700 dalam rangkaian 5G di semua rangkaian bermula 21 hingga 29 Disember lalu membuahkan hasil apabila isu panggilan suara terputus merekodkan penurunan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata terdapat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih merekodkan penurunan hingga 70 peratus, namun masih ada isu yang perlu diteliti oleh sebahagian syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Kita lihat ada beberapa syarikat telekomunikasi menghadapi masalah teknikal dan kita telah minta mereka untuk kemukakan laporan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diteliti. Kita mahu pastikan masalah panggilan terputus ini tiada.

"Saya percaya mereka (syarikat telekomunikasi yang) terbabit akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan saya tegaskan isu dialami (ialah) isu teknikal … berbeza dan bukan daripada panggilan terputus yang dihadapi sekarang," katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Turut menyertai ujian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin.

Ujian yang dijalankan menerusi kaedah panggilan secara berulang dan panggilan secara berterusan di lapan lokasi itu melibatkan perjalanan sejauh 31 kilometer bermula dari Sungai Karang ke Felda Bukit Goh.

Penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM) dan YES (YTL) turut menyertai ujian berkenaan, dan sepanjang ia berlangsung, terdapat satu panggilan terputus direkodkan.

Pahang menjadi lokasi ketiga ujian itu dilaksanakan selepas ibu negara yang melibatkan perjalanan dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 9 Januari dan sesi kedua di Melaka River Cruise pada 26 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kadar liputan 5G di Pahang telah mencapai 65 peratus, manakala sebanyak 57 sekolah di negeri ini terlibat dalam pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 1 bagi menambah baik kualiti Internet menerusi gentian optik.

- BERNAMA

Berita Harian X