Sabtu, 3 Februari 2024 | 1:58pm

KUSKOP beri jaminan bantu industri PKS ke tahap lebih baik - Ramanan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi jaminan untuk membantu industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam melonjakkan sektor itu ke tahap yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R Ramanan, berkata menerusi bantuan disediakan oleh kerajaan MADANI, pihaknya percaya 100 peratus PKS dapat diperkasa dan dibangunkan dengan lebih kukuh.

Selain itu, beliau berkata, menerusi bantuan yang diberikan juga dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sektor itu.

Katanya, antara masalah yang dihadapi PKS hari ini adalah bagaimana golongan terbabit ingin membangunkan perniagaan mereka.

"Masalah itu termasuk di mana mereka boleh dapatkan bantuan sama ada kewangan, infrastruktur, rangkaian dan pekerja.

"Kebanyakan bantuan ini pula adalah yang diperlukan untuk membangunkan perniagaan mereka (PKS) bagi membolehkan pemulihan ekonomi daripada kesan pandemik COVID-19 dan ekonomi dunia kini yang semakin turun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Kongres PKS ke-4 dan Anugerah Golden Dinar anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther; Presiden MIMCOIN, Datuk Jamarulkhan M S Kadir; dan Pengerusi Penganjur Kongres PKS ke-4, Datuk Abdul Hamid P V Abdu.

Dalam pada itu, Ramanan berkata bantuan kepada PKS itu diberikan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ramanan (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta kongres pada perasmian Kongres PKS Keempat anjuran Dewan Perniagaan Dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Menara Matrade Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ramanan (dua, kanan) beramah mesra dengan peserta kongres pada perasmian Kongres PKS Keempat anjuran Dewan Perniagaan Dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di Menara Matrade Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Berita Harian X