Sabtu, 3 Februari 2024 | 12:51pm

Tahanan lolos depoh Imigresen ditangkap ketika minta air di masjid

TAPAH: Tiga lagi tahanan warga asing yang lolos Depoh Imigresen Sementara Bidor malam kelmarin, berjaya ditangkap pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini 10 orang.

Dalam makluman terbaharu, dua lelaki awalnya ditangkap oleh orang awam ketika meminta air di Masjid Batu Melintang sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata seorang lagi ditahan di Kampung Orang Asli Sementa, iaitu dalam radius 12 kilometer sekitar depoh berkenaan.

Mereka antara 115 pendatang Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh yang lolos dari depoh berkenaan kelmarin. Seorang daripada tahanan itu maut dalam nahas di Kilometer 335 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bidor.

Ruslin berkata, pihaknya akan mengenal pasti kawasan atau tempat berpotensi untuk tahanan terbabit keluar mendapatkan minuman dan makanan kerana mereka dipercayai sudah keletihan masuk hari ketiga hari ini.

"Mereka dipercayai mula keluar untuk mendapatkan makanan dan minuman, jadi orang awam perlu membantu dalam usaha menangkap saki baki tahanan terbabit," katanya pada sidang media di luar Depoh Imigresen Sementara Bidor, hari ini.

Sehingga kini, katanya, seramai 10 daripada 130 tahanan yang lolos berjaya ditangkap.

"Ini perkembangan yang baik. Operasi akan diteruskan sehingga saki baki tahanan berjaya ditangkap sepenuhnya," katanya.

Beliau juga memaklumkan, depoh berkenaan ditutup sepenuhnya hari ini dan tidak lagi menempatkan tahanan yang sudah dipindahkan ke pusat penahanan lain sehingga jam 11 malam tadi.

"Penghantaran keluar tahanan sudah dilakukan sehingga jam 11 malam tadi ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, membabitkan seramai 100 wanita," katanya.

Susulan insiden jam 9.50 malam kelmarin, gerakan besar-besaran dilancarkan pihak berkuasa disertai 378 anggota.

Operasi disertai pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh pada sidang media di luar Depoh Imigresen Sementara Bidor, hari ini. - NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh pada sidang media di luar Depoh Imigresen Sementara Bidor, hari ini. - NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN.
Berita Harian X