Sabtu, 3 Februari 2024 | 11:20am
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Siapa wanita di sebalik nama Raja Zarith Sofiah

JOHOR BAHRU: Ibarat ibu yang sentiasa memayungi masa depan anak-anak, begitulah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Baginda begitu komited mengutamakan bidang pendidikan dan perkembangan intelektual rakyat terutamanya generasi muda.

Kecintaan mendalam Raja Permaisuri Agong terhadap bidang pendidikan sebagai wadah untuk memajukan diri terserlah apabila banyak mengilhamkan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Program diilhamkan Seri Paduka bukan sahaja untuk pembentukan dan melahirkan graduan berkualiti, malah turut membantu memajukan komuniti setempat khususnya di Johor.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata ia terbukti dengan penubuhan Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS).

Katanya, RZS-CASIS di UTM yang ditubuhkan pada 15 Jun 2019, antara bukti komitmen Raja Zarith Sofiah terhadap bidang pendidikan.

Melalui pusat berkenaan, beberapa siri wacana yang menghimpunkan intelektual terkemuka negara dan antarabangsa telah dilangsungkan dengan baginda sendiri mengambil peluang menyampaikan ucap tama dalam wacana berkenaan.

Satu daripada wacana itu ialah ketika program syarahan perdana dan majlis pelancaran buku tokoh intelek dunia Islam, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas berjudul Islam: The Covenants Fulfilled di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, tahun lalu.

"Sosok kehadiran Raja Permaisuri Agong dalam wacana ilmu seperti ini menzahirkan lagi komitmen Seri Paduka dalam bidang keilmuan, khasnya dalam konteks manfaat dunia Islam," katanya.

Raja Zarith Sofiah adalah Canselor UTM sejak 1 Jun 2010 dan penubuhan RZS-CASIS antara lain bermatlamat menjalankan penyelidikan termaju mengenai Islam, sains dan tamadun serta memberikan kepakaran dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Cina dari University of Oxford, United Kingdom, Raja Permaisuri Agong juga pencetus idea untuk UTM menjalinkan kerjasama dengan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS).

Kerjasama dengan OCIS berpangkalan di United Kingdom pada Mei tahun lalu untuk menganjurkan program Science Roundtable, bertemakan Imagining the Future: Climate Change, Health, and Food Security in Muslim Societies.

"Penganjuran program OCIS-UTM ini adalah untuk membincangkan buah fikiran dan strategi yang mampan bagi menangani perubahan iklim dunia terutamanya dalam konteks masyarakat Islam.

"Ia sebagai melengkapi aktiviti intelektual lain seperti UTM Royal Intellectual Forum.

"Forum itu bermatlamat membincangkan nilai moral ekonomi Islamiah dalam konteks cabaran dan pelaksanaan yang menekankan keadilan, kesamarataan dan kemampanan dalam mendepani dunia digital era kini yang pantas berubah," katanya.

Di Johor Bahru, Raja Zarith Sofiah ialah individu yang mengilhamkan program Bangsa Johor Bahagia (BJB), program signifikan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Komuniti di Pangsapuri Kangkar Pulai di sini, menjadi projek perintis bagi program itu dan telah dimulakan oleh pasukan penyelidik UTM pada 2018 di bawah naungan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

"Menerusi program itu, Raja Permaisuri Agong telah menyumbang dan mengumpul dana serta bantuan peralatan bagi pelaksanaan projek ini. Sehingga kini, komuniti BJB menjadi contoh dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Komuniti Flat Kenari Kangkar Pulai menjadi pemenang Commonwealth Association of Planners (CAP) Award for Planning Achievement atas keberhasilan yang cemerlang dalam Projek Kebun Komuniti," kata Ahmad Fauzi.

Sisi keperibadian lain, Seri Paduka juga dilihat sebagai sosok yang mempunyai keprihatinan tinggi terhadap kebajikan dan kemaslahatan rakyat, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang menuntut di UTM.

Baginda sering mengadakan perjumpaan, sama ada secara fizikal ataupun dalam talian untuk bertanyakan khabar mereka terutama ketika pandemik COVID-19.

Malah, dalam konflik kemanusiaan di Gaza, Palestin yang masih berlarutan, Seri Paduka antara individu terkedepan mengambil peduli kebajikan dan kesejahteraan mental dan fizikal 31 pelajar Palestin yang sedang menuntut di UTM.

Menerusi Majlis UTM Chancellor's Engagement with Palestinian Students pada Oktober 2023, Raja Permaisuri Agong sendiri berkenan menyantuni mereka secara peribadi.

Selain cakna penderitaan dialami pelajar Palestin, Raja Zarith Sofiah turut komited menyokong UTM dalam meraih dana bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dan pengoperasian universiti.

Menerusi program UTM Royal Gala Dinner yang dianjurkan setiap dua tahun, Ahmad Fauzi berkata, ia membuka peluang kepada agensi kerajaan, korporat, pemain industri, bahkan orang perseorangan untuk sama-sama menyumbang dan menjalankan tanggungjawab sosial, lebih-lebih lagi untuk manfaat mahasiswa. – BERNAMA

Biodata Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah
Biodata Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah

Berita Harian X