Sabtu, 3 Februari 2024 | 11:07am
Anggota Jabatan Imigresen menggunakan motosikal pagi ini untuk mengesan tahanan asing yang lolos dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor. - NSTP/Rosman Shamsudin
Anggota Jabatan Imigresen menggunakan motosikal pagi ini untuk mengesan tahanan asing yang lolos dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor. - NSTP/Rosman Shamsudin

Tunggang motosikal buru pendatang Rohingya, Myanmar

TAPAH: Usaha memburu saki baki tahanan asing yang lolos dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, dekat sini berterusan hari ini, termasuk dengan menggunakan motosikal.

Tinjauan mendapati lebih 20 anggota Jabatan Imigresen dilihat keluar dari depoh berkenaan, selain beberapa kenderaan polis yang dilihat keluar masuk dari pusat tahanan terbabit.

Kira-kira 20 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula bergotong-royong mengalih khemah ke kawasan di depan pintu masuk depoh berkenaan yang agak lengang.

Depoh terbabit terletak kira-kira lima kilometer (km) dari jalan utama laluan Tapah-Bidor, kurang 500 meter dari Sungai Gedung dan perlu melalui jalan kebun sawit. Bersebelahannya ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Kedudukan depoh itu yang berada dalam kawasan kebun kelapa sawit menjadikannya jauh dari penempatan penduduk.

Setakat 8.45 malam tadi, enam daripada 130 pendatang asing Rohingya dan Myanmar yang ditahan di depoh berkenaan, dilaporkan berjaya ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh mengesahkan empat daripada mereka ditahan setakat jam 4 petang semalam, manakala penahanan dua lagi disahkan oleh Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Usaha mengesan saki-baki tahanan digerakkan 387 anggota Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan RELA.

Malam kelmarin, 115 pendatang Rohingya dan 16 dari Myanmar melarikan diri dari blok lelaki depoh itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Susulan itu, pengoperasian depoh berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan operasi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dilaksanakan sepenuhnya. Masih terdapat 435 pendatang asing ditahan di depoh berkenaan.

Jabatan Imigresen kemudian memindahkan mereka ke enam depoh tahanan lain, antaranya di Machap, Melaka; Lenggeng, Negeri Sembilan; Bukit Jalil di Kuala Lumpur; Kemayan, Pahang dan Langkap di Perak.

Depoh di Bidor menempatkan 556 tahanan, termasuk 297 pendatang etnik Rohingya dengan mereka yang lolos malam kelmarin ditempatkan di tiga daripada lima blok.

Berita Harian X