Sabtu, 3 Februari 2024 | 8:30am

Usah kompromi soal keselamatan depoh tahanan pendatang asing

TIDAK sampai 24 bulan, negara dikejutkan lagi dengan kes pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya meloloskan diri daripada Depoh Tahanan Sementara Imigresen. Dalam kejadian pada April 2022, lebih 500 PATI etnik Rohingya berjaya melarikan diri daripada Depoh Tahanan Sementara Imigresen di Relau, dekat Bandar Baharu, Kedah.

Dalam kejadian kelmarin, sejumlah 115 PATI etnik Rohingya dan enam warga Myanmar melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak dengan memecahkan pagar dan kawat duri di sekeliling kawasan depoh itu untuk melarikan diri, termasuk menuju ke kawasan hutan berhampiran dipisahkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Seorang PATI lelaki berusia 30-an yang lolos turut disahkan maut akibat terbabit kemalangan di lebuh raya dipercayai melarikan diri daripada ditahan semula pihak berkuasa.

Insiden PATI lolos daripada depoh tahanan ini mendedahkan wujud kelemahan ketara terhadap tahap kawalan keselamatan dan pemantauan daripada pihak berkuasa sepanjang proses penahanan golongan terbabit di tempat yang sepatutnya memiliki mekanisme kawalan tinggi.

Insiden yang berlaku ini seharusnya menjadi keutamaan tinggi bagi kerajaan khasnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk ditangani kerana ia membabitkan soal keselamatan negara khasnya kepada penduduk tinggal berhampiran kawasan depoh tahanan.

KDN tidak boleh berkompromi lagi dalam isu kawalan keselamatan dan pemantauan di setiap depoh tahanan walaupun berstatus sementara. KDN perlu memperuntukkan bajet setimpal bagi meningkatkan atau menaik taraf teknologi keselamatan di setiap depoh tahanan bagi mengelak insiden seumpama itu berulang.

Situasi di sekitar pintu masuk Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor semalam. - Foto BERNAMA
Situasi di sekitar pintu masuk Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor semalam. - Foto BERNAMA

Menerusi Belanjawan 2024, KDN diperuntukkan RM19.06 bilion, meningkat sebanyak RM547.36 juta atau 2.95 peratus berbanding Belanjawan 2023. Peningkatan peruntukan itu sepatutnya dimanfaatkan KDN untuk memperkukuh keselamatan negara termasuk fasiliti tahanan pesalah jenayah serta PATI.

Susulan peningkatan jumlah PATI termasuk golongan pelarian terutama etnik Rohingya di negara ini sehingga mewujudkan rantaian masalah sama ada dari sudut sosial dan ekonomi, tidak ada alasan lagi bagi kerajaan dan KDN untuk bersikap sambil lewa dalam aspek kawalan keselamatan di depoh tahanan.

Pasukan Polis Unit Udara Bukit Aman membuat tinjauan susulan seramai 131 pendatang tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor, Tapah, kelmarin. - NSTP/L Manimaran
Pasukan Polis Unit Udara Bukit Aman membuat tinjauan susulan seramai 131 pendatang tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor, Tapah, kelmarin. - NSTP/L Manimaran

Pertambahan bilangan PATI memerlukan KDN meningkatkan tahap keselamatan dan membekalkan sistem kawalan canggih, selain menempatkan lebih ramai anggota serta pegawai untuk mengawal depoh tahanan. KDN wajar memanfaatkan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) bagi membantu mengawal depoh tahanan PATI.

Jika perlu, kerajaan boleh mengatur gerak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkawal bersama penguat kuasa KDN bagi memastikan tahap kawalan keselamatan tinggi di depoh tahanan PATI untuk mengelak insiden seumpama itu berulang pada masa depan.

Kerjasama antara agensi ini bukan saja dapat menjimatkan kos operasi kerajaan, bahkan mewujudkan kerjasama bersepadu menangani masalah dicetuskan PATI serta mekanisme kawalan keselamatan dalam negeri.

Berita Harian X