Jumaat, 2 Februari 2024 | 9:39pm
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) , Azman Adnan (tiga kiri) menyampaikan BAP kepada wakil Jabatan Pendidikan Daerah Melaka Tengah sambil disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (empat kiri) di Ayer Keroh, hari ini. - Foto ihsan FB Ab Rauf Yusoh.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) , Azman Adnan (tiga kiri) menyampaikan BAP kepada wakil Jabatan Pendidikan Daerah Melaka Tengah sambil disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (empat kiri) di Ayer Keroh, hari ini. - Foto ihsan FB Ab Rauf Yusoh.

Melaka hampir selesai agih BAP

MELAKA: Sebanyak 315 daripada 317 sekolah di Melaka setakat ini sudah selesai mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diperoleh menerusi peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata baki agihan itu dijangka selesai pada 8 Februari ini.

"Sebanyak RM20,674,800 telah diperuntukkan bagi inisiatif BAP kepada kerajaan Melaka untuk disalurkan kepada 317 sekolah di seluruh negeri ini.

"Peruntukan ini akan diagihkan kepada 137,832 murid sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya," katanya selepas majlis perasmian Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah-Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademi 2024 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Hadir sama Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad.

Azman berkata setiap pelajar akan menerima RM150 dan setakat ini tiada isu pemotongan yang timbul di negeri ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri terus komited memastikan semua anak Melaka mendapat akses pendidikan yang terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Katanya, bagi sesi akademik 2024, TAPEM meluluskan peruntukan Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah sebanyak RM412,000 yang membabitkan 52,060 pelajar daripada 241 sekolah rendah seluruh Melaka.

"Saya tidak mahu ada anak-anak yang terpinggir atau tersisih daripada menerima pendidikan yang sempurna hanya disebabkan kekangan kewangan.

"Jadi, pemberian sumbangan bantuan pada hari ini diharap dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa bagi sesi baharu persekolahan pada 11 Mac ini," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X