Jumaat, 2 Februari 2024 | 12:44pm
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - BERNAMA/FOTO FAIL
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - BERNAMA/FOTO FAIL

'PAS tak halang konsert, tapi...' - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS tidak menghalang konsert, sebaliknya mahu penganjuran acara hiburan dipastikan mengikut garis panduan yang ditetapkan, kata Timbalan Presiden, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata,Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sudah ada garis panduan berhubung penganjuran konsert dan kerajaan kini mesti ikut garis panduan itu.

"Kita bukan halang konsert, bahkan di era Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah dianjurkan konsert Mawi di Kota Bharu.

"Hiburan bukan salah dalam Islam, tetapi mesti ikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyatakan PAS tidak pernah secara agresif mendesak konsert dibatalkan ketika parti itu berada dalam kerajaan.

Dalam forum bertajuk 'Politics 101: Politics, Policies and Personal Journeys with Khairy Jamaluddin', bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa PAS hanya menyentuh isu itu sekali saja ketika berada dalam kerajaan, iaitu selepas kerajaan membuka semula ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Khairy dipetik berkata, menteri agama ketika itu, Datuk Idris Ahmad daripada PAS hanya minta jumlah konsert dikurangkan.

Tuan Ibrahim berkata, konsert oleh artis yang mempromosi agenda berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan nilai yang bertentangan dengan dasar negara dan budaya tempatan mesti ditentang.

"Kita harus jelas ke mana hala tuju masa depan rakyat kita, membina ke arah budaya Timur yang berteraskan budaya Islam adalah dasar kebudayaan nasional. Kenapa kita mempromosikan budaya liar yang menjurus kepada budaya hedonisme dan LGBT.

"Apapun Islam tidak menentang hiburan kerana hiburan wujud dalam masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW," katanya

Isu konsert hangat semula selepas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.

Apatah lagi, kata mufti itu, pandangan mengenai larangan terhadap aktiviti golongan LGBT yang bukan ijtihad ulama, tetapi berdasarkan nusus syar'iyyah yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan hadis.

Wan Salim kesal dengan penganjuran konsert membabitkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.

Katanya lagi, sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, kerajaan sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis pendukung amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah oleh semua agama.

Mufti Pulau Pinang mengulas mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang dijadualkan pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artis berkenaan didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di stadium sama

Pandangan Wan Salim mendapat maklum balas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang memalumkan, beliau sudah merujuk perkara itu dengan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

"Saya terima baik pandangan Mufti Pulau Pinang mengenai perkara ini, namun antara 16 agensi terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui JK-PUSPAL adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya," kata Fahmi seperti dilaporkan media kelmarin.

Mengulas lanjut, menteri itu berkata, buat masa ini tiada sebarang perubahan kepada kelulusan permohonan untuk mengadakan konsert terbabit, namun pihaknya akan meneliti perkara berkenaan sekiranya tindakan perlu diambil.

Berita Harian X