Jumaat, 2 Februari 2024 | 11:57am
Fadhlina menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Fadhlina menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

KPM tumpu empat perkara perkasa sistem pendidikan negara

KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha memperkukuhkan sistem pendidikan negara dengan memberi tumpuan kepada empat perkara penting menerusi haluan pendidikan negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata empat perkara itu adalah Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM); Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Bahasa Inggeris dan digital.

"Ketika ini kita sedang memperkukuhkan pentaksiran dan memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 serta hala tuju negara dan haluan negara ketika ini adalah STEM, TVET, Bahasa Inggeris dan digital.

"Jadi kita minta semua memberikan sepenuh sokongan untuk memperkukuhkan ekosistem kita khususnya hala tuju negara yang empat ini supaya kita dapat sama-sama memperkukuhkan lagi pendidikan kita.

"Ketika ini juga yang paling penting adalah melihat peluasan prasekolah yang sedang di terajui di peringkat KPM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan pihak yang masih meminta supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 April 2021 memutuskan memansuhkan UPSR mulai 2021 manakala PT3 mulai 2022.

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai kes bapa memarahi dan mengugut guru kerana mengambil tindakan terhadap anaknya yang dikatakan merokok di kawasan sekolah, Fadhlina berkata kes berkenaan dalam siasatan polis.

"Namun tindakan sudah diambil di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah," katanya.

Baru-baru ini, seorang bapa memarahi dan mengugut guru kerana mengambil tindakan terhadap anaknya yang dikatakan merokok di kawasan sekolah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 49 tahun itu sudah ditahan selepas laporan polis diterima daripada guru terbabit.

Berita Harian X