Jumaat, 2 Februari 2024 | 11:32am

Kerajaan perlu realisasi KL lestari bukan seperti cerita 'Mat Jenin'

'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri' pasti akan menjadi pegangan ketika kita membandingkan Kuala Lumpur dengan ibu kota lain yang mungkin lebih terkehadapan bilangan mercu tanda pencakar langit, bangunan bersejarah warisan tamadun silam atau pusat kewangan dengan hasil trilion ringgit.

Apatah lagi Kuala Lumpur secara relatifnya baru 52 tahun diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di negara ini sejak 1 Februari 1972, iaitu tarikh sama sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi memperingati pengisytiharan ibu kota itu bersama Putrajaya dan Labuan, berbanding ibu kota lain mungkin status metropolitan sudah mencecah lebih seabad.

Bagaimanapun, ada juga aspek yang peribahasa itu tidak boleh dijadikan azimat, iaitu sekiranya bersangkut-paut dengan kelemahan dari segi pembangunan tidak mampan dan lestari serta kebudayaan tidak mencerminkan ketinggian budi, integriti dan seni baik dari segi agama mahupun bangsa timur.

Hakikatnya, pembangunan mampan dan lestari seolah-olah impian jauh untuk digapai warga Kuala Lumpur. Masakan tidak, banjir kilat masih menjadi igauan ngeri setiap kali hujan lebat meskipun dalam tempoh dua tiga jam hingga kita bimbang apakah akan berlaku sekiranya bah besar melanda Lembah Klang pada akhir 2021 berulang kembali.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kita pernah mengimpikan Kuala Lumpur sebagai 'bandar dalam taman' tetapi ia mungkin tinggal sebagai 'angan-angan Mat Jenin' jika tidak banyak pokok untuk dipanjat watak cerita rakyat terbabit. Tahun lalu, akhbar ini melaporkan Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Lagong (Tambahan), antara lima HSK sekitar ibu negara, dikhuatiri berubah gondol akibat penerokaan dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan struktur.

Itu belum lagi isu kesesakan jalan raya luar biasa dianggap melebihi situasi sebelum pandemik, meskipun sistem pengangkutan awam sudah dipertingkatkan dengan Projek Transit Aliran Massa (MRT). Sejauh manakah ia dimanfaatkan warga kota atau penduduk di luar Kuala Lumpur untuk berulang-alik ke tempat kerja atau ia sudah tidak mampu menampung jumlah pengguna pada waktu puncak?

Bagaimana pula kedudukan Kuala Lumpur dari aspek kebudayaan tinggi, iaitu ciri penting ibu kota dunia hingga UNESCO mewujudkan pelbagai kategori untuk Rangkaian Kota Kreatif seperti sastera, filem, muzik, seni rakyat dan kraf serta reka bentuk, selain Kota Buku. Ia belum lagi kita ambil kira budi bahasa, kebersihan dan etika serta moral diperlihatkan warga Kuala Lumpur dalam kehidupan bandar sama ada di kejiranan, jalan raya mahupun urusan harian.

Diakui, kerajaan baru sahaja mewartakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) pada 19 Oktober tahun lalu, tetapi kita bimbang sekiranya ia indah khabar daripada rupa, sekali gus mengulangi pelbagai perancangan diuar-uarkan menteri bertanggungjawab yang silih berganti. Justeru, kita menuntut kesungguhan pihak berwajib bermula Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kementerian berkaitan dan komitmen warga kota untuk menterjemahkannya hingga Kuala Lumpur bukan sahaja ditadbir dan dibangunkan secara mampan serta lestari, bahkan berbudaya dan beretika tinggi dari segala aspek.

Berita Harian X