Jumaat, 2 Februari 2024 | 11:21am

Bayar balik kalau potong - Fadhlina

KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meminta sekolah yang memotong Bantuan Awal Persekolahan (BAP) supaya mengembalikan semula bantuan itu kepada ibu bapa dalam jumlah penuh.

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata ibu bapa bagaimanapun perlu membuat aduan jika mendapati berlaku pemotongan BAP supaya siasatan dapat dijalankan.

"Kalau ada pemotongan, kena lapor kepada KPM untuk terus kita siasat kerana jumlah yang diberikan perlu diterima sepenuhnya. Kalau ada potongan, kita minta kemukakan aduan.

"Kita akan siasat dan jumlah itu mesti dikembalikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di sini, hari ini.

Baru-baru ini, seorang individu mendakwa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan BAP yang sepatutnya berjumlah RM150.

Individu itu mendakwa, guru di sekolah itu memotong RM100 sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta koperasi.

Minggu lalu, KPM memaklumkan penyaluran BAP sebanyak RM150 bagi setiap murid perlu dilakukan tanpa sebarang bentuk pemotongan dan kementerian prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan bantuan itu kepada murid.

Menurut kementerian itu, pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP kepada murid.

"BAP bernilai RM150 bagi setiap murid dilaksanakan bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan penyaluran BAP dilakukan melalui sekolah secara kredit ke akaun murid atau secara tunai.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai penyaluran BAP boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM.

KPM sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (depan tengah) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua di Kajang, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (depan tengah) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua di Kajang, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X