Khamis, 1 Februari 2024 | 9:39pm
Sukarelawan daripada pelbagai agensi bergotong royong membersihkan peralatan sekolah yang terjejas banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja. - Foto GHAZALI KORI
Sukarelawan daripada pelbagai agensi bergotong royong membersihkan peralatan sekolah yang terjejas banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja. - Foto GHAZALI KORI

Kerosakan lapan sekolah di Dungun dianggar RM1 juta

DUNGUN: Kerosakan infrastruktur dan aset di lapan sekolah di daerah ini akibat banjir baru-baru ini, dianggarkan hampir RM1 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Husin, berkata lapan sekolah terbabit termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor, SK Delong, SK Minda Talong, SK Jongok Batu, SK Tepus, SK Kuala Jengai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

Beliau berkata, kerosakan membabitkan infrastruktur dan aset seperti perabot, buku dan peralatan mengajar.

"Kita sudah kenal pasti lapan sekolah terjejas, tetapi paling teruk ialah SK Pasir Raja dan SK Kampung Shukor di Hulu Dungun.

"Jadi kita beri fokus untuk baik pulih dua sekolah ini, yang disaluti lumpur tebal dan kerosakan peralatan yang banyak," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja pembersihan di SK Pasir Raja, di sini hari ini.

Shafruddin berkata, kerja pembersihan di lapan sekolah dijangka mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan, dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Selain agensi kerajaan dan anggota keselamatan, ramai juga sukarelawan dari badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang datang membantu kerja pembersihan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X