Khamis, 1 Februari 2024 | 3:02pm

Selepas tanam 2.5 juta pokok, Nestle Malaysia teruskan penghutanan semula, lindungi biodiversiti negara

KUALA LUMPUR: Menerusi kempen 'Penghijauan Malaysia', Nestle Malaysia (Nestle) sehingga kini berjaya menanam 2.5 juta pokok menerusi program penghutanan semula Projek RELeaf dan Projek RiLeaf.

Syarikat akan meneruskan usaha menanam 1.5 juta pokok lagi menjelang separuh pertama 2025 untuk mencapai angka empat juta pokok, dengan tiga juta ditanam selepas tamat perintah kawalan pergerakan pada 2021.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan komitmen kukuh Nestle kepada amalan lestari dan pemuliharaan alam sekitar menerusi strategi positif hutan.

Nestle dalam kenyataan berkata, syarikat menyasarkan untuk menanam 100 juta pokok menjelang 2025 dalam usaha mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang penting kepada usaha pemulihan ekologi negara di bawah kempen 'Penghijauan Malaysia'.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols, berkata program penghutanan semula menunjukkan komitmen jangka panjang untuk membantu Malaysia memulihkan khazanah ekosistem, melindungi biodiversiti serta mengurangkan kesan perubahan iklim.

"Dalam pada itu program ini membuka peluang bagi meningkatkan punca pendapatan komuniti luar bandar. Program penghutanan semula ini adalah satu daripada pelbagai cara kami berusaha mencetus perubahan positif.

"Sebagai contoh, program 'Farmer Connect', kami terus menyokong ratusan keluarga luar bandar yang terlibat dalam penanaman cili, padi dan kopi di Kedah dan Kelantan. Kami memberikan bimbingan mengenai amalan lestari seperti pertanian regeneratif yang melindungi nutrien tanah dan juga membantu meningkatkan hasilnya.

"Menerusi projek ini, kami bukan sahaja melindungi alam sekitar dan memelihara biodiversiti negara, tetapi membantu komuniti luar bandar untuk berkembang maju," katanya.

Projek ReLeaf muncul sebagai pemangkin bagi transformasi positif dalam kalangan komuniti luar bandar tempatan, membabitkan lebih daripada 300 anggota masyarakat.

Berita Harian X