Khamis, 1 Februari 2024 | 2:18pm
Hutan Simpan Ulu Muda
Hutan Simpan Ulu Muda

Hutan Simpan Ulu Muda penting untuk kekalkan tanah lembap negara

ALOR SETAR: Kerajaan digesa untuk terus memulihara Hutan Simpan Ulu Muda berikutan ia bukan sahaja penting sebagai sumber air, tetapi juga untuk habitat hidupan liar termasuk mengekalkan kawasan tanah lembap negara.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail, berkata sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2024 yang disambut seluruh dunia esok, kesedaran mengenai kepentingan tanah lembap perlu didedahkan kepada masyarakat bagi melindungi kelestarian alam.

Katanya, selain daripada mamalia besar seperti gajah, tapir, rusa, dan beruang madu, hutan simpan itu menjadi habitat kepada lebih daripada 300 spesies burung, termasuk 10 spesies burung enggang sekali gus menjadikan kawasan itu unik dan menarik perhatian dunia.

"BirdLife International mengiktiraf hutan simpan seluas 143,155 hektar sebagai kawasan penting burung dan kepelbagaian biologi atau important bird and biodiversity area (IBA) dengan nombor MY002," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Hutan Simpan Ulu Muda memenuhi kriteria nombor satu dan tiga bagi IBA, iaitu habitat untuk haiwan yang terancam di peringkat global dan khusus kepada kumpulan spesies tertentu.

Katanya, spesies mamalia besar yang masih ada dan 10 spesies burung enggang menjadikan hutan simpan itu diiktiraf sebagai kawasan yang berkepentingan antarabangsa.

"Justeru bagi menjaga kawasan berkepentingan antarabangsa ini pelbagai program perlu diadakan terutamanya membabitkan penduduk tempatan dengan diberikan pendidikan berterusan melalui program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam

(CEPA)," katanya.

Beliau turut mencadangkan semua sekolah sekitar kawasan hutan simpan itu dengan CEPA bagi bagi memberi pengetahuan pengetahuan dan kesedaran tinggi mengenai tanah lembab dan faedahnya kepada manusia.

"Pihak berkuasa seperti, PERHILITAN, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan perlu mendapat sokongan orang ramai terutamanya penduduk tempatan dan pembabitan universiti berdekatan kawasan hutan simpan itu dialu-alukan membantu program CEPA.

"Jadi sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2024 bertemakan 'Tanah Lembap dan Kesejahteraan Manusia' yang disambut seluruh dunia pada esok, semua sekolah berdekatan kawasan hutan simpan ini seperti Padang Terap, Sik dan Baling atau sekolah lain di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang boleh melakukan sesuatu untuk menyatakan sokongan kepada perlindungan dan pemuliharaan tanah lembap," katanya.

Berita Harian X