Khamis, 1 Februari 2024 | 2:02pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

MARA beri kelonggaran daftar masuk MRSM pada 13 Mac

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran dan pilihan kepada ibu bapa pelajar baharu Tingkatan Satu dan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk membuat pendaftaran pada 13 Mac depan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kelonggaran itu diberi bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa berdepan kekangan untuk membuat pendaftaran pada tarikh asal yang ditetapkan iaitu pada 11 Mac.

"Ramai minta pendaftaran Tingkatan Satu dan Empat MRSM dilewatkan sikit. Insya-Allah setelah bincang dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM), saya setuju 13 Mac, iaitu hari ketiga selepas sesi persekolahan dibuka diberikan pilihan kepada ibu bapa yang punya masalah atau sebarang kekangan untuk menghantar anak-anak pada 11 Mac.

"Justeru, 11 Mac masih kekal sebagai hari pendaftaran awal untuk pelajar baharu Tingkatan Satu dan Empat," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Katanya, bagi pelajar baharu yang mahu mendaftar pada 11 Mac, juga dibolehkan.

"Pelajar-pelajar baharu Tingkatan Satu dan Empat MRSM boleh daftar 11 Mac dan bagi yang punya masalah boleh juga daftar 13 Mac. Tiada masalah. Ini semua untuk memudahkan ibu bapa yang pertama kali mahu mendaftarkan anak-anak di MRSM kali ini," katanya.

Keputusan tawaran kemasukan ke MRSM Tingkatan Satu dan Empat bagi 2024 diketahui pada 18 Januari lalu, dengan MARA menetapkan tarikh pendaftaran bagi kemasukannya adalah pada 11 Mac depan.

Asyraf sebelum ini memaklumkan, MRSM tidak pernah mewujudkan polisi hanya pelajar miskin dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah berkenaan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah.

Katanya, dasar MARA juga menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah daripada B40 dan selebihnya mereka yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) dalam kalangan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20).

Berita Harian X