Khamis, 1 Februari 2024 | 1:13pm
Amirudin pada majlis Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam, malam tadi. - NSTP/FAIZ ANUAR
Amirudin pada majlis Malam Anugerah Usahawan PKNS 2023 di Shah Alam, malam tadi. - NSTP/FAIZ ANUAR

MB Selangor saran usahawan tempatan terokai pasaran Asia Tenggara

SHAH ALAM: Usahawan tempatan di negeri ini disaran meneroka dan memperluaskan perniagaan sehingga dapat menembusi pasaran Asia Tenggara yang dilihat mempunyai potensi besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia berikutan rantau ini mempunyai pasaran tersendiri dengan penduduk berjumlah kira-kira 600 juta orang.

"Kepada usahawan sekalian, kita tidak boleh mengehadkan fikiran (berniaga) dalam kitaran persekitaran kita saja. Kita harus berani melihat keadaan untuk bersaing pada peringkat serantau dan global. Di Asia Tenggara, kita mempunyai 600 juta (penduduk) dengan Indonesia ada lebih 200 juta penduduk.

"Ada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke benua lain seperti Amerika Syarikat dan India sedangkan di Asia Tenggara, kita ada 600 juta (penduduk)... sudah mencukupi, malah mempunyai pasaran tersendiri.

"Kita lebih nak berniaga di tempat lain berbanding rantau kita yang mempunyai pertumbuhan dan permintaan daripada industri bernilai tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2023, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, serta Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PKNS mempunyai produk dan jaringan program pembangunan usahawan yang tersusun, meliputi program berbentuk latihan serta didikan mentor dan mentee hinggalah kepada program yang menimbulkan minat berniaga untuk pelajar sekolah.

Sementara itu Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS, Azilah Arasad @ Arshad, berkata 35 program utama keusahawanan sudah dilaksanakan melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), setakat ini.

Malah, katanya, nilai ekonomi dicapai usahawan bawah bimbingan PKNS menerusi program berkenaan adalah melebihi RM202 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, hampir 200 usahawan menyertai Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2023 yang mencatat jumlah transaksi jualan bernilai RM2.27 juta dengan seramai 44,658 pengunjung.

Sempena ulang tahun PKNS yang ke-60 pada tahun ini, PKNS melalui BPU mengadakan Malam Anugerah Usahawan PKNS bagi mengiktiraf usahawan yang dibimbingnya.

Sebanyak 12 anugerah daripada empat kategori disampaikan kepada usahawan-usahawan PKNS, antara lain Anugerah Usahawan Gemilang SELBIZ 2023 yang dimenangi Robiatul Adawiah Ibrahim daripada Rabi Sugarflour Cafe' Ent.

Bagi Kategori Anugerah Khas, Anugerah Usahawan Terbaik GROW dimenangi Nur Asiah Kuzaiman daripada Asiah Kuzaiman Enterprise; Anugerah Usahawan Terbaik GROW PLUS diraih Yazmeen Anshary daripada Avantcom International Sdn Bhd; dan Anugerah Usahawan Terbaik BIZUP diperoleh Siti Suraya Shariff daripada Sorrellicious Legacy bagi Kategori Program Bermodul.

Selain itu, Anugerah Usahawan PKNS (Luar Selangor) dimenangi Sparkles Group Sdn Bhd; Anugerah Industri Makanan / Minuman (Pembuatan) dimenangi DNA Herbal Pride Industries Sdn Bhd; Anugerah Industri Makanan / Minuman (Perkhidmatan) dimenangi Jaqued Holdings Sdn Bhd; Anugerah Industri Perkhidmatan dimenangi Melody Corporation House Sdn Bhd.

Anugerah Industri Peruncitan dimenangi Ashvertising Marketing Sdn Bhd; Anugerah Industri Pembuatan dimenangi Eskandar Global Sdn Bhd; Anugerah Usahawan Global dimenangi Pak Tam Katering Sdn Bhd; serta Anugerah Usahawan Premium bagi Kategori Anugerah Cemerlang dimenangi Nims Adeliciousz Sdn Bhd.

Selain mengiktiraf usahawan, PKNS turut memberi penghargaan kepada rakan agensi, iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corporation Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan Agrobank yang telah mengadakan beberapa jalinan kerjasama melalui pelbagai program keusahawanan PKNS pada tahun lalu.

Berita Harian X