Khamis, 1 Februari 2024 | 11:27am
Pasukan bomba memadam kebakaran hutan di kawasan Kampung Purun Ulu, Kuala Penyu
Pasukan bomba memadam kebakaran hutan di kawasan Kampung Purun Ulu, Kuala Penyu

Hutan lebih 600 hektar terbakar di Beaufort dan Kuala Penyu, angin jadi cabaran bomba

BEAUFORT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah masih meneruskan usaha memadam kebakaran hutan di daerah ini dan Kuala Penyu susulan kejadian bermula petang semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penguasa Bomba, Kiniremmy Zikol @ Lupi, berkata kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas 602.29 hektar dan masih merebak ke kawasan berhampiran.

Setakat ini, katanya, seluas 240.79 hektar iaitu 40 peratus daripada kawasan terbakar sudah dipadamkan.

"Kebakaran membabitkan kawasan hutan iaitu di kawasan Kampung Purun Ulu, Kuala Penyu, Nukahan, Beaufort dan Melawaring.

"Operasi pemadaman sedang diteruskan dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air terbuka iaitu tali air menggunakan floating pump dan pemerap api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengalami kesukaran mengawal kebakaran kerana api terlalu cepat merebak disebabkan tiupan angin kuat, selain faktor hutan kering serta kawasan tanah gambut.

"Operasi pemadaman masih dijalankan dan pemantauan di kawasan terbabit dilakukan secara berterusan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu," katanya.

Maklumat kebakaran diterima pada jam 2.16 petang semalam sebelum sepasukan pegawai dan anggota bersama dua jentera digerakkan ke tempat kejadian.

Operasi turut dibantu Unit Dron bagi membuat tinjauan di kawasan sekitar kawasan kebakaran.

Berita Harian X