Khamis, 1 Februari 2024 | 10:54am

BERSATU tekad pastikan ahli Parlimen sokong PM kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR: BERSATU akan menggerakkan apa saja kaedah dan bertindak dalam ruang lingkup perundangan serta politik bagi memastikan beberapa kerusi Parlimen milik parti itu dikosongkan seperti termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Afif Bahardin, berkata kerusi Parlimen seperti Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Tanah Merah dan Tanjung Karang perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.

Pada masa sama beliau menyelar kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mencabar parti untuk memecatnya.

"Kami di BERSATU mencabar beliau untuk segera mengosongkan kerusi Parlimen Labuan kerana hakikatnya BERSATU mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan.

"Kami bersedia walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran kerajaan campuran PH-BN,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Suhaili digantung keahlian enam tahun berkuat kuasa November lalu oleh BERSATU kerana membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan memudahkan mereka mendapat bantuan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

Lima lagi Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sementara itu, beliau yang baharu dilantik sebagai MPT berikrar akan memainkan peranan memperkukuh hala tuju dan asas perjuangan parti selain terus menjuarai isu rakyat terutamanya di dalam agenda membela kebajikan rakyat dan membangun polisi keterjaminan masa depan orang muda di negara ini.

"BERSATU di dalam kerangka Perikatan Nasional akan terus menjadi parti ulung bagi mewakili dan membela masyarakat Bumiputera dan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama.

"Dengan kesatuan pimpinan dan ahli BERSATU, saya dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda terutamanya di kalangan professional muda dan mahasiswa bagi memperjelaskan prinsip perjuangan parti dan memperkenalkan tokoh-tokoh pimpinan muda di dalam BERSATU.

"Inisiatif ini bermatlamat bagi mengalakkan lebih banyak penyertaan di kalangan professional muda dan mahasiswa di dalam wadah perjuangan BERSATU,"katanya.

Berita Harian X