Khamis, 1 Februari 2024 | 8:54am

Aman Palestin fail semakan kehakiman mohon 11 akaun dinyahbekukan serta-merta

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, untuk memohon supaya 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta dinyahbekukan dengan serta-merta.

Berdasarkan permohonan difailkan itu, ia bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan Aman Palestin bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.

Selain itu, Aman Palestin antara lain juga memohon satu deklarasi bahawa pihaknya berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam serta menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza yang telah dan masih dizalimi rejim Israel, tanpa perlu diganggu gugat secara salah dan tidak sah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) itu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia.

Beliau memaklumkan, Aman Palestin pada jam 6.57 petang semalam juga memfailkan Afidavit Sokongan menyokong semakan kehakiman, Penyata Selaras menurut Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, dan Perakuan Segera.

"Hingga hari ini (semalam), dua surat diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024 yang merayu serta memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

"SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

SPRM dalam satu kenyataan pada November tahun lalu berkata, pihaknya membekukan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober tahun lalu.

Menurut SPRM, pihaknya juga merakam beberapa keterangan saksi penting, dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu disyaki membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

SPRM dilaporkan berkata, pihaknya telah membuat penggeledahan di premis Aman Palestin dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001); serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seterusnya dalam kenyataan sama, Muhammad Rafique berkata, angka kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah sekurang-kurang 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala 65,636 orang lagi cedera.

"Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi. Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.

"Aman Palestin menyerahkan urusan ini kepada sistem kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya daripada tohmahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan)," dakwanya.

Beliau berkata, Aman Palestin sebagai institusi yang dikenali mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya, berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak masyarakat Palestin.

Berita Harian X