Rabu, 31 Januari 2024 | 6:24pm

24,000 tempat program diploma, sijil pada hari terbuka KPT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 24,000 tempat bagi permohonan tawaran terus ke program Diploma dan Sijil di Politeknik atau Kolej Komuniti terpilih bagi Sesi II 2023/2024 sempena program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD2024).

POD2024 akan berlangsung selama empat hari mulai esok sehingga Ahad ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

KPT dalam kenyataan hari ini berkata, bagi pelajar lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading juga dipelawa ke reruai KPT (Nombor 16) di POD2024 selain konsultasi pilihan program melalui sistem UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi.

"Sementara itu, bagi pengunjung yang memiliki pengalaman kerja tetapi masih berminat menyambung pengajian di Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di Malaysia, mereka berpeluang untuk mendapatkan konsultasi berkenaan dengan Program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning – APEL) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Bagi siswazah yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tawaran program penajaan dan bantuan kewangan turut disediakan membabitkan 15 program yang menarik," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, katanya, melalui program POD2024, orang ramai juga berpeluang menikmati aroma kopi segar sajian 'Inspired Kitchen by Kolej Komuniti Selayang' yang dikendalikan oleh pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

"Bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 tahun dan Ulang Tahun Perbadanan Putrahaya (PPJ) ke-28 (esok), POD2024 diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan/produk dari kementerian atau agensi kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik serta pengunjung.

"Justeru, orang ramai dijemput hadir memeriahkan POD2024 tahun ini," katanya.

Berita Harian X