Rabu, 31 Januari 2024 | 3:57pm
Pesawah menunjukkan padi yang menjadi hampa atau tidak berisi di sawah mereka di Kampung Padang Makau - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Pesawah menunjukkan padi yang menjadi hampa atau tidak berisi di sawah mereka di Kampung Padang Makau - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Pesawah di Yan rugi besar padi jadi 'hampa'

YAN: Kira-kira 20 pesawah yang mengusahakan lebih 30 hektar sawah di beberapa kampung di sini dan Semeling, Kuala Muda mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit selepas padi yang sepatutnya dituai minggu ini menjadi hampa atau tidak berisi.

Ada yang menganggap ia kerugian paling besar sejak 50 tahun lalu.

Pesawah, Har Hai Hong, 65, berkata dia menyedari padi di kira-kira 10 hektar sawahnya di Semeling, Kuala Muda dan Kampung Padang Makau di sini menjadi hampa pada awal bulan ini ketika berusia 80 hari.

Katanya, dia berasa sangat kecewa apatah lagi semakin dekat dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

"Saya mengusahakan kira-kira 20 hektar sawah, kira-kira sembilan hektar sawah saya tidak menjadi, saya pun hairan bagaimana padi kali ini menjadi hampa sedangkan saya menggunakan benih, baja, racun yang sama seperti musim-musim lalu.

"Kulit padi menjadi warna kuning kehitaman dan ringan, sepatutnya sudah boleh tuai, tapi saya terpaksa tangguh dulu, lepas ini mahu tidak mahu saya tetap perlu keluarkan kos untuk upah jentera menuai walaupun tiada hasil.

"Saya anggarkan kerugian saya hampir RM60,000 musim ini, Tahun Baharu Cina tahun ini saya sambut secara sederhana saja sebab saya perlu fikir untuk bayar pelbagai kos termasuk kos sewa kepada pemilik sawah," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Makau di sini, hari ini.

Seorang lagi pesawah, Peng Poh Keat, 50, berkata dia tidak tahu apakah punca penyakit itu menyerang kira-kira enam hektar sawah yang diusahakan.

Katanya, keadaan itu agak misteri bagi mereka kerana tidak semua sawah di kawasan itu menghadapi keadaan itu.

"Saya perlu membayar RM1,150 bagi setiap relung atau 0.3 hektar sawah yang disewa kepada pemilik tanah. Sebelum ini setiap relung saya selalu dapat hasil lebih dua tan, sekarang nak dapat 200 kilogram pun payah," katanya.

Selain itu, Law Ah Hoo, 72, juga mendakwa, tanaman seluas tiga hektar yang diusahakan di kawasan berdekatan turut diserang penyakit sama.

"Kami rasa bimbang kerana Tahun Baru Cina makin hampir tetapi padi pula tak ada isi, rugi banyak kali ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Mohd Rosdi Yahaya, 55, berkata pihaknya menggesa agensi berkaitan dapat membuat kajian mengenai punca serangan penyakit di sawah terbabit.

Katanya, kajian itu penting bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang untuk musim kedua yang dijadualkan April ini.

"Kami bimbang kejadian ini akan berulang dan menyebabkan pesawah terus rugi dan hidup dalam keadaan tertekan," katanya.

Berita Harian X