Rabu, 31 Januari 2024 | 3:22pm
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris. - BERNAMA
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris. - BERNAMA

Undang-undang antilompat parti perlu ada klausa berkaitan MP alih sokongan - Razali

KUALA LUMPUR: Undang-undang berkaitan antilompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) perlu ditambah baik dengan memasukkan klausa berkaitan tindakan Ahli Dewan Rakyat mengalihkan sokongan, yang sepatutnya turut didefinisikan sebagai lompat parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata kelompangan dalam undang-undang itu perlu diatasi, mengambil kira perkembangan yang menyaksikan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengalih sokongan dengan menyokong kerajaan.

"Akta itu perlu memasukkan klausa berkaitan tindakan Ahli Dewan Rakyat mengalihkan sokongan yang didefinisikan sebagai tindakan melompat parti.

"Pindaan itu juga perlu memasukkan sokongan kepada parti lain tanpa meninggalkan parti sebagai tindakan melanggar arahan parti yang ditakrifkan sebagai melompat parti.

"Pada masa ini, disebabkan tiadanya definisi berkenaan dalam akta berkaitan lompat parti, maka wujudlah kumpulan Ahli Parlimen menyokong parti lain tetapi masih mengakui tidak meninggalkan parti," katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah membangkitkan keperluan memperhalusi dan menambah baik akta berkaitan anti lompat parti berikutan kejanggalan dalam akta itu selepas beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan tindakan Ahli Parlimen BERSATU itu menguji akta berkaitan antilompat parti dan perkara berkaitan kejanggalan itu perlu dilihat semula melalui pindaan tertentu.

Mengulas antara kejanggalan dimaksudkan, beliau memberi seseorang ahli Parlimen pembangkang yang berlawanan dengan parti mereka, tetapi dalam masa sama masih berada dalam kelompok pembangkang.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Berita Harian X