Rabu, 31 Januari 2024 | 3:10pm

Pinda perlembagaan dulu baru ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR: BERSATU hanya akan mula mengambil tindakan undang-undang ke atas enam Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila parti itu selesai meminda perlembagaan parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, apabila parti sudah meminda perlembagaan parti lebih mudah tindakan undang-undang dapat diambil ke atas enam individu itu.

Tanpa menghuraikan bentuk tindakan undang-undang itu, katanya pindaan undang-undang parti itu nanti akan terpakai kepada enam Ahli Parlimen berkenaan.

"Keenam-enam Ahli Parlimen itu masih ahli parti walaupun mereka menyatakan sudah menyokong Perdana Menteri, jadi sebarang pindaan yang dibuat nanti akan terpakai kepada mereka.

"Persoalan sama ada mereka sudah menyokong Kerajaan Perpaduan sebelum pindaan tidak timbul selagi mereka masih anggota parti," katanya kepada BH.

Beliau ditanya mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil parti itu terhadap enam Ahli Parlimen berkenaan dan dakwaan pindaan itu tidak terpakai kepada enam Ahli Dewan Rakyat itu.

Enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Turut berbuat demikian ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaru, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ditanya mengenai kelompangan undang-undang berkaitan lompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), katanya akta itu perlu memasukkan klausa berkaitan tindakan Ahli Dewan Rakyat mengalihkan sokongan yang didefinisikan sebagai tindakan melompat parti.

Katanya, pindaan itu juga perlu memasukkan sokongan kepada parti lain tanpa meninggalkan parti sebagai tindakan melanggar arahan parti yang ditakrifkan sebagai melompat parti.

"Pada masa ini, sebab tiadanya definisi berkenaan dalam akta berkaitan lompat parti, wujudlah kumpulan Ahli Parlimen menyokong parti lain tetapi masih mengakui tidak meninggalkan parti," katanya.

Berita Harian X