Rabu, 31 Januari 2024 | 1:04pm
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (dua kiri) menunjukkan antara ayam sejuk beku dipercayai diseludup, yang dirampas di Kota Bharu, semalam. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (dua kiri) menunjukkan antara ayam sejuk beku dipercayai diseludup, yang dirampas di Kota Bharu, semalam. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kastam rampas ayam sejuk beku dipercayai diseludup

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 13,350 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM99,679.30 termasuk cukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran di Kampung Pulau Tebu, Jalan Kuala Krai di sini, jam 8 pagi semalam.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata semua ayam sejuk beku yang diragui status halal itu ditemui dalam dua lori jenis Hino yang ditinggalkan tanpa pemandu di tepi jalan.

Katanya, anggota membuat intipan dua minggu bagi mengesan kegiatan penyeludupan berkenaan, selain turut mendapat maklumat sebelum membuat serbuan terbabit.

"Penyeludup dipercayai membawa ayam sejuk beku menggunakan sampan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa dengan kenderaan ke destinasi seterusnya.

"Mereka dipercayai menggunakan kenderaan penumpang, lori atau van bagi membawa ayam sejuk beku untuk diedar di pasaran tempatan dan luar Kelantan.

"Semua ayam sejuk beku berkenaan dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu di sini, hari ini.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000.

"Pelaku juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

"Ayam sejuk beku diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya.

Berita Harian X