Selasa, 30 Januari 2024 | 10:41pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Penjualan ubat antiretroviral dikawal bawah Akta Racun 1952

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan ubat terapi antiretroviral (Highly Active Antiretroviral Therapy - HAART) hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan atau ahli farmasi berdaftar bagi tujuan rawatan perubatan.

Justeru, KKM berkata penjualan ubat terkawal itu yang termasuk dalam kategori ubat yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 tanpa lesen sah seperti aduan yang tular melalui aplikasi X adalah menyalahi Seksyen 13 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan menawarkan dan cubaan untuk menjual ubat itu juga adalah satu kesalahan di bawah akta sama.

Selain itu, KKM turut memaklumkan semua iklan ubat dan perkhidmatan kesihatan bagi tujuan merawat, mencegah atau mendiagnos penyakit adalah dikawal di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

"Mana-mana pihak yang ingin menyiarkan iklan ini wajib memohon dan mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) KKM terlebih dahulu, sebelum (iklan) disiarkan.

"Penyiaran iklan tanpa kelulusan LIU adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama," menurut kenyataan itu.

KKM juga menggesa orang ramai mendapatkan ubat daripada sumber sah dan sentiasa berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan atau testimoni di laman sesawang atau media sosial dengan dakwaan berkaitan perubatan yang tidak munasabah.

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik sebelum membuat sebarang pembelian menerusi laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status. – BERNAMA

Berita Harian X