Selasa, 30 Januari 2024 | 9:07pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Malaysia hantar pencalonan Tapak FRIM Forest Park Selangor ke UNESCO

PUTRAJAYA: Tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) dicalonkan kepada pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia bagi sesi penilaian 2024/2025.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan dokumen pencalonan itu dikemukakan semalam kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris melalui Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris.

Menurut kenyataan MOTAC itu, usaha pencalonan tapak itu bermula sejak 2017 yang mana dokumen senarai tentatif dihantar kepada pihak UNESCO pada 31 Januari 2017.

"Justeru, keputusan bagi pencalonan ini dijangka bakal diketahui Jun atau Julai 2025, dengan proses penilaian sekitar 18 bulan bermula dari tarikh penghantaran dokumen pencalonan," menurut kenyataan MOTAC di sini hari ini.

MOTAC juga memaklumkan penyenaraian di bawah Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu, amat diinginkan banyak negara, memandangkan ia satu pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

Selain dapat memberikan promosi dan mengetengahkannya di peringkat dunia, pengiktirafan itu juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak warisan di Malaysia.

"Pengiktirafan ini juga secara tidak langsung akan mengangkat kebolehlihatan Malaysia di mata dunia sebagai produk pelancongan, yang mampu memberi peluang ekonomi kepada negara melalui industri berkaitan," menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, sejumlah 1,199 tapak di seluruh dunia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972.

MOTAC memaklumkan, penyediaan dokumen dossier pencalonan dibuat dengan penglibatan beberapa agensi berkaitan, terutama pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan diselaraskan Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi memastikan dokumen tersebut memenuhi kriteria yang telah ditetapkan UNESCO.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai empat Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).

Sementara itu, MOTAC memaklumkan keputusan pencalonan bagi tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak bakal diketahui Jun atau Julai ini yang bakal menajdi Warisan Dunia UNESCO kelima di Malaysia sekiranya berjaya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia juga sedang berusaha mencalonkan beberapa lagi tapak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan datang, seperti Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara. – BERNAMA

Berita Harian X