Selasa, 30 Januari 2024 | 3:43pm
Razali (kiri) mencabar Suhaili melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Labuan.
Razali (kiri) mencabar Suhaili melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Labuan.

'Jika anak jantan, letak jawatan Ahli Parlimen' - BERSATU pula cabar Suhaili

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris mencabar Datuk Suhaili Abdul Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Labuan berbanding 'bising' meminta parti untuk memecatnya.

Selain Suhaili, cabaran sama turut dilontar kepada lima lagi Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika benar nak jadi anak jantan, umumkan pengunduran sebagai Ahli Parlimen... kami sudah tidak mahukan khidmat beliau (Suhaili )selepas dia menyokong Perdana Menteri.

"Letak saja jawatan, kenapa takut," katanya ketika mengulas kenyataan Suhaili yang mencabar BERSATU memecatnya, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Labuan itu yang digantung keahlian enam tahun oleh BERSATU mencabar parti itu memecat semua Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri termasuk dirinya.

Selain Suhaili, lima Ahli Parlimen lain adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam pada itu, Razali berkata pihaknya percaya Suhaili bersama lima lagi Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar, tidak akan berani untuk melepaskan jawatan kerana masing-masing bimbang kehilangan kerusi sekiranya diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Di pihak BERSATU , katanya, parti itu sememangnya bersedia sekiranya enam kerusi berkenaan dikosongkan dan diadakan semula pilihan raya.

"Kami kini dalam proses untuk merealisasikan pindaan perlembagaan parti... tunggu saja dan pindaan ini akan terpakai kepada enam Ahli Parlimen itu kerana mereka mendakwa masih Ahli BERSATU," katanya

Semalam, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti itu mahu meminda perlembagaan parti dalam masa terdekat menerusi Perhimpunan Agung Khas bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti.

Pindaan itu bagi memastikan ahli parti yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang, sekali gus membolehkan PRK diadakan.

Berita Harian X