Selasa, 30 Januari 2024 | 1:41pm
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman

Suhaili cabar BERSATU pecat enam Ahli Parlimen yang sokong PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, yang digantung keahlian enam tahun oleh BERSATU, mencabar parti itu memecat semua Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan kepada pucuk pimpinan BERSATU, kalau rasa hebat sangat ..pecatlah kami yang dah isytihar sokong PMX (Perdana Menteri Kesepuluh)

"Nak suruh kosongkan kerusi? Ini memang saya tidak layan lah, tunggu saja PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16)," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian apabila ditanya langkah terbaru BERSATU mahu meminda Perlembagaan parti bagi menyekat lebih ramai Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Anwar.

Semalam, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti itu mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat selepasmenyokong pentadbiran kerajaan.

Dalam masa yang sama, BERSATU memutuskan meminda Perkara 10 Perlembagaan parti menghalang insiden sama daripada berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan kelak.

Suhaili antara enam Ahli Parlimen parti itu membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri dengan alasan memudahkan mereka mendapat bantuan untuk rakyat di akwasan masing-masing.

Lima lagi Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Suhaili yang digantung enam tahun berkuat kuasa November tahun lalu, berkata pinda perlembagaan parti itu adalah hak BERSATU

Katanya, tindakan undang-undang kepada mereka yang menyokong Perdana Menteri juga hak parti itu.

"Untuk saya , BERSATU sudah ambil tindakan .., gantung enam tahun, (jadi) nak ambil tindakan apa lagi?," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada FMT, Suhaili mendakwa, tindakan mereka menyokong kerajaan tidak salah dari sudut perlembagaan BERSATU.

"Kami sokong kerajaan ketika BERSATU tak pinda perlembagaan lagi, kalau pinda pun dah tak terpakai untuk kami," katanya.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa bermula 5 Oktober 2022.

Dengan pelaksanaan akta itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti akan hilang kelayakannya.

Pindaan Fasal 4 menyatakan seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan.

Perkara sama turut terpakai kepada Ahli Parlimen Bebas yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat menyertai suatu parti politik.

Akta itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Berita Harian X