Selasa, 30 Januari 2024 | 10:22am

SPM 2023: JPN Kelantan sedia 7 pusat peperiksaan alternatif jika banjir

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyediakan tujuh pusat peperiksaan alternatif untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekiranya berlaku banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, berkata tujuh pusat peperiksaan yang berisiko banjir membabitkan enam di Pasir Mas dan satu di Tumpat.

Katanya, antara sekolah yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Maahad Muhamadi Rantau Panjang membabitkan calon SPM dan STPM.

"Lima lagi sekolah berisiko banjir hanya membabitkan calon SPM iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah; Sekolah Menengah Ugama (A) AI-Falah Siram; SMK Meranti; Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti; dan Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat.

"Melalui pelan tindakan banjir, pusat peperiksaan di SMK Rantau Panjang akan dikekalkan dan dipindahkan ke aras bangunan lebih tinggi; Maahad Muhamadi Rantau Panjang dipindahkan ke SMK Gual Periok; dan Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.

"Selain itu, Sekolah Menengah Ugama (A) AI-Falah Siram ke Sekolah Kebangsaan (SK)Banggol Chicha; manakala SMK Meranti dan Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti masing-masing di SK Meranti; sementara Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat ke SMK Chabang Empat," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas tinjauan hari pertama SPM 2023 di SMK) Dato' Ahmad Maher, di sini, hari ini.

Katanya, dianggarkan lebih 600 calon yang terjejas banjir akan dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif terdekat sekiranya sekolah mereka dinaiki air.

"Bagi pusat yang mempunyai asrama, calon akan ditempatkan di asrama, manakala bagi sekolah yang tidak ada asrama akan ditempatkan di pusat alternatif.

"Pihak JPN sudah mengarahkan pengurus peperiksaan sekolah untuk memaklumkan kepada calon agar hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan sekiranya berlakunya banjir.

"Pusat asal yang ditenggelami banjir akan ditutup dan peperiksaan akan dijalankan di pusat alternatif," katanya.

Beliau berkata calon yang terkandas dengan banjir juga boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang berhampiran.

"Pelajar berkenaan perlu memaklumkan kepada guru dan ia akan dipanjangkan kepada Penolong Pegawai Peperiksaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SPP) JPN untuk memastikan bekalan kertas peperiksaan di pusat berkenaan mencukupi," katanya.

Beliau berkata, seramai 26,664 calon yang menduduki SPM 2023 di 294 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

"Seramai 2,391 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan," katanya.

Pengarah JPN Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz (tengah) bersama calon SPM 2023 mengaminkan doa sebelum memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengarah JPN Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz (tengah) bersama calon SPM 2023 mengaminkan doa sebelum memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X