Selasa, 30 Januari 2024 | 9:52am

19,765 calon duduki SPM di Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR: Seramai 19,765 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWPKL), Roslan Abu Hassan, berkata daripada jumlah itu, 15,817 adalah calon sekolah kerajaan, 240 orang calon sekolah agensi kerajaan, 2,500 calon sekolah swasta dan 1,208 calon persendirian.

"Kesemua calon ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini di 168 pusat peperiksaan di Kuala Lumpur.

"Seramai 2,166 orang petugas peperiksaan termasuk seramai 407 orang sukarelawan pengawas peperiksaan bukan dalam kalangan penjawat awam telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi lawatan bersempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, JPWPKL, Dr Zalina Mohd Tahir;Timbalan Pengarah Pendidikan,Sektor Pembelajaran, Abdul Aziz Md Hashim; Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Zainuddin Mohamad DAN Pengetua SMAKL, Wan Jamaludin Wan Bidin.

Mengenai kesediaan JPWPKL dalam menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk bencana, katanya, persediaan rapi dilaksanakan bagi mendepani sebarang isu berkaitan.

"Setakat ini, Wilayah Persekutuan tidak terbabit dalam sebarang bencana, misalnya banjir. Jadi semua calon dapat hadir secara fizikal di semua pusat peperiksaan yang disediakan.

"Alhamdulillah, kalau ikutkan peperiksaan telah bermula, daripada ujian bertutur dari 7 Disember lalu, semuanya berjalan dengan baik hasil kerjasama semua pihak berkaitan," katanya.

Beliau turut memaklumkan, sekiranya calon SPM didapati positif COVID-19, mereka perlu hadir secara fizikal di bilik isolasi yang disediakan di pusat peperiksaan, manakala bagi pelajar dimasukkan ke hospital, akan mengambil peperiksaan di fasiliti kesihatan terbabit.

Untuk rekod, seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Mengikut jadual dikeluarkan KPM, peperiksaan bertulis hari ini dimulakan dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1, jam 8.15 pagi, diikuti Pendidikan Seni Visual, jam 11.45 pagi.

Pada sesi petang, mulai 2.30 petang, calon SPM akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 2.

SPM kali ini turut melakar sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya membuka permohonan bagi pelantikan pengawas peperiksaan SPM 2023 kepada orang awam.

Inisiatif itu adalah satu daripada tujuh langkah kementerian berkenaan dalam mengatasi beban tugas guru.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memasuki dewan peperiksaan pada tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di SMK Agama Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memasuki dewan peperiksaan pada tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di SMK Agama Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X