Selasa, 30 Januari 2024 | 9:30am

'Saya menangis bila terkenang lawatan meriah ke Sabah, Sarawak'

KUALA LUMPUR: "Saya akui menangis apabila teringat semula kenangan manis dan sambutan meriah rakyat ketika kunjungan kami ke Sabah dan Sarawak hujung tahun lalu. Perasaan sayu timbul setiap kali melihat kembali rakaman sepanjang jelajah Borneo kami," titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima keluarganya sepanjang program jelajah ke Sabah dan Sarawak yang juga kali pertama bagi keluarga diraja itu melawat kawasan di luar bandar utama di dua negeri itu.

"Sejak awal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya sudah berbincang dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menjelajah Sabah dan Sarawak sebab sepanjang pembabitan dalam sukan bola sepak, saya hanya pernah sampai ke Kota Kinabalu dan Kuching saja.

"Jadi, saya bertekad untuk melawat ke kawasan di luar daripada dua bandar besar berkenaan dalam tempoh lima tahun menjadi pemerintah tertinggi negara.

"Malangnya sebaik menjadi Agong, negara dilanda pandemik COVID-19 selama dua tahun yang membataskan pergerakan kita, sekali gus merencatkan rancangan menjelajah Sabah dan Sarawak yang hanya boleh dilakukan ketika di penghujung tugas saya sebagai Agong," titah baginda.

Program Kembara Kenali Borneo bermula di Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak berlangsung dari 3 hingga 13 September 2023.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda teringin melihat sendiri kecantikan bandar dan kawasan luar dari Kota Kinabalu serta Kuching, selain mahu meninjau kehidupan rakyat dan makanan unik mereka.

"Apabila program ini berlangsung, saya sangat terkejut dengan sambutan meriah diberikan rakyat kepada kami kerana saya sangka ia hanya lawatan biasa saja.

"Saya terharu apabila rakyat pelbagai kaum sanggup menunggu lama, berdiri sepanjang jalan semata-mata ingin bertemu kami tanpa mengira hujan atau panas.

"Kini peristiwa itu menjadi pengalaman paling manis dan kenangan sepanjang hayat yang tidak mungkin dilupakan," titah baginda.

Mengulas pengalaman hasil lawatan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat di Semenanjung harus bersyukur dengan kemudahan yang dinikmati mereka berbanding penduduk di negeri Borneo.

"Kita jangan salahkan sesiapa, kita faham saiz Sabah dan Sarawak dua kali ganda daripada Semenanjung. Faktor kewangan menjadi kekangan untuk memajukan kawasan dan perlu pemantauan terhadap projek dijalankan," titah baginda.

Sementara itu, Tunku Azizah bertitah, baginda berdua hanya merancang untuk memandu santai ke Sabah dan Sarawak dalam rangka percutian keluarga diraja.

"Kami hanya ingin memandu santai sepanjang perjalanan untuk menikmati keindahan pemandangan di Sabah dan Sarawak.

"Namun, tak disangka sambutan amat di luar jangkaan. Tuanku (Al-Sultan Abdullah) sanggup memandu sejauh 2,154 kilometer dan sepanjang perjalanan, kami menerima banyak surat rungutan dan rayuan daripada rakyat.

"Kami berhasrat untuk kembali semula ke Sabah dan Sarawak selepas ini, pastinya lawatan itu kelak tidak dikerumuni seperti sebelum ini," titah baginda.

Mengulas kemesraan baginda dan keluarga ketika bersama rakyat, Tunku Azizah bertitah, mereka mengetepikan protokol dan sikap itu diamalkan keluarga diraja Pahang sejak dulu.

"Sejak hari pertama berkahwin dengan Tuanku 38 tahun lalu, Tuanku sudah heret saya masuk ke kampung dan kami bermesra secara santai dengan rakyat.

"Tuanku juga galakkan saya ada program sendiri dengan masyarakat terutama dalam bidang kraftangan dan masakan.

"Apabila ada anak, kami bawa anak sekali dalam program rakyat. Secara tidak langsung anak juga mewarisi sikap mesra dan suka menolong rakyat ini, malah saya bangga dengan Pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) yang masih muda tetapi berjaya menjalankan tugasnya sepanjang Tuanku di Kuala Lumpur sebagai Agong," titah baginda.

Tunku Azizah secara santai turut menggambarkan baginda ibarat syurga yang menjadi tempat Al-Sultan Abdullah kembali selepas kelelahan menguruskan negara.

"I am the heaven he come back to..saya tak boleh bagi Tuanku pening kerana Tuanku sendiri banyak hal berat yang perlu diselesaikan. Saya perlu jadi pendamai, tak mencampuri urusan negara," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika sesi temubual bersama agensi media Malaysia di Istana Negara. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika sesi temubual bersama agensi media Malaysia di Istana Negara. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X