Isnin, 29 Januari 2024 | 5:14pm
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, bersama pegawainya menunjukkan gambar dadah dan suspek yang ditahan
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, bersama pegawainya menunjukkan gambar dadah dan suspek yang ditahan

Pasangan kekasih antara tiga ditahan kerana miliki lebih 6 kg dadah

PENAMPANG: Tiga suspek termasuk sepasang kekasih, ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan polis terhadap dua lokasi berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata bertindak atas maklumat diterima, suspek pertama berjaya ditahan pada jam 1.30 tengah hari pada 24 Januari lalu di Kampung Nambazan, di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek yang memandu Perodua Bezza sendirian itu didapati membawa satu ketulan hablur disyaki syabu seberat 38.22 gram dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 24.36 gram.

"Hasil soalsiasat, suspek berusia 31 tahun itu mengaku bertindak sebagai pengedar dadah dan menjadi 'penjaga' bahan larangan berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Eric.

"Suspek turut mendedahkan semua dadah berkenaan disimpan di sebuah kondominium mewah di Jalan Damai, Luyang," katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Sammy berkata, berdasarkan maklumat suspek, polis menyerbu kediaman berkenaan dan menahan dua individu termasuk seorang wanita berusia 31 dan 33 tahun.

Katanya, suspek lelaki kedua cuba bertindak agresif untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pasukan serbuan.

"Pemeriksaan lanjut berjaya menemui satu plastik hitam berisi lapan bungkusan lutsinar yang disembunyikan di dalam almari pakaian.

"Anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah 6,431.19 gram. Semua rampasan dan tangkapan terus dibawa balik ke IPD Penampang," katanya.

Sammy berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan Nissan Fairlady untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bersama Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada sepuluh sebatan," katanya.

Berita Harian X