Isnin, 29 Januari 2024 | 3:23pm
Wan Rosdy (dua dari kanan) bersama Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani melihat pokok Albizia pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang. - NSTP/ MOHD RAFI MAMAT
Wan Rosdy (dua dari kanan) bersama Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani melihat pokok Albizia pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang. - NSTP/ MOHD RAFI MAMAT

Heret peneroka haram hutan simpan di Pahang ke mahkamah, tiada lagi kompaun - MB

RAUB: Pihak terbabit penerokaan hutan simpan secara haram di Pahang tidak akan dikenakan tindakan kompaun seperti sebelum ini, sebaliknya akan segera diheret ke mahkamah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia sebahagian tindakan yang akan diambil kerajaan negeri bagi menangani kegiatan penerokaan haram hutan simpan, selain melombong dan memindahkan balak secara haram.

Katanya, ia susulan kejadian tanah runtuh terkini yang berlaku di di Cameron Highlands yang meragut lima nyawa baru-baru ini, yang mana penerokaan haram dikesan berlaku di kawasan runtuhan itu.

"Bagi memberi kesedaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti penerokaan hutan simpan secara haram selain melombong dan memindahkan balak secara haram, tindakan tegas mengheret mereka segera ke mahkamah kini dilakukan dan tidak lagi dikenakan kompaun seperti mana sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perhutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal Pahang di Hutan Simpan Tersang, di sini hari ini.

Sabtu lalu, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman mengesahkan penerokaan haram aktif lebih setahun lalu di kawasan runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley di Cameron Highlands.

Ia membabitkan keluasan 4.31 hektar di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi-D bagi tujuan tanaman sayur, dengan tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan dan tangkapan dikenakan terhadap pengusaha April tahun lalu di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya aktiviti penerokaan secara haram hutan simpan tidak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, beliau berkata, pihak terbabit seperti degil dengan larangan dikeluarkan kerajaan negeri yang melarang sebarang kegiatan menceroboh hutan simpan di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

Katanya, pelbagai usaha pencegahan kegiatan menceroboh hutan simpan dilakukan pihak berkuasa secara berterusan, namun kegiatan berkenaan masih terus berlaku.

"Kerajaan negeri memandang serius aktiviti pencerobohan hutan simpan di Cameron Highlands oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengusahakan projek pertanian berskala besar.

"Saya berharap Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan agensi penguat kuasa lain dapat terus memperhebatkan usaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak terus berlaku hingga mengorbankan nyawa," katanya.

Mengenai projek perhutanan semula, beliau berkata ia cukup penting terutamanya dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di Pahang dapat dipergiatkan.

Katanya, projek perhutanan semula di Pahang bermula tahun 2000 membabitkan kawasan seluas 404.69 hektar dan sehingga tahun lalu, kawasan seluas 34,342.22 hektar telah dibangunkan.

"Kali ini syarikat Amat Bayu membangunkan kawasan seluas 20,303.27 hektar di Hutan Simpan Tersang dengan tanaman pokok Albizia," katanya.

Berita Harian X