Isnin, 29 Januari 2024 | 1:23pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Pengarah Lembaga AIM yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (tengah) bersama Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja dan Himpunan Madani Sahabat AIM di Ibu Pejabat AIM. - Foto GENES GULITAH
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Pengarah Lembaga AIM yang juga Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (tengah) bersama Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja dan Himpunan Madani Sahabat AIM di Ibu Pejabat AIM. - Foto GENES GULITAH

Ahli Parlimen Sungai Buloh tidak ambil gaji, elaun sejak jadi wakil rakyat

PETALING JAYA: "Saya tidak pernah ambil gaji dan elaun sejak dilantik sebagai wakil rakyat," kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R Ramanan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri semalam yang meminta bakal calon yang bertanding dalam pilihan raya selepas ini menerima kenyataan jika tidak ditawarkan skim pencen jika berjaya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, semua gaji dan elaun sejak dilantik sebagai wakil rakyat pada November 2022 diberikan kepada pihak rumah ibadat seperti masjid, surau, tokong dan gereja.

"Jadi kalau saya tidak ambil gaji saya nak komen pasal ambil pencen itu seperti salahlah. Jadi saya tidak perlu komen," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan dan taklimat operasi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Ibu Pejabat AIM di Bandar Sri Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz.

Semalam, Perdana Menteri turut memaklumkan kedudukan untuk dipilih sebagai wakil rakyat adalah pilihan sendiri dan bagi mereka yang tidak berminat berikutan ketiadaan skim pencen itu, maka tidak dipaksa meneruskan hasrat bertanding pilihan raya.

Disember tahun lalu, Ramanan menunaikan ikrar pilihan rayanya dengan mendermakan gaji serta elaun bulanan kepada rumah ibadat sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Sejak Januari 2023 lalu, sebanyak RM332,000 sudah disumbangkan kepada rumah ibadat bertujuan membantu kebajikan penduduk setempat.

Berita Harian X