Isnin, 29 Januari 2024 | 9:24am
Penduduk di Kampung Shukor sedang membasuh baju yang kotor akibat banjir. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Penduduk di Kampung Shukor sedang membasuh baju yang kotor akibat banjir. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Banjir Terengganu: Mangsa banjir berkurangan, 782 masih terjejas di Dungun

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin beransur pulih dengan 782 mangsa dilaporkan masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam daerah Dungun.

Setakat jam 8 pagi, semua mereka daripada 228 keluarga berada di enam PPS di daerah berkenaan.

Malam tadi, seramai 923 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di tujuh PPS.

Penduduk di Kampung Shukor, Hulu Dungun membasuh baju yang kotor akibat banjir. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Penduduk di Kampung Shukor, Hulu Dungun membasuh baju yang kotor akibat banjir. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dewan Serbaguna Kampung Shukor menempatkan seramai 226 mangsa (61 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan seramai 247 mangsa (96 keluarga).

PPS di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu pula menjadi tempat berlindung 126 mangsa daripada 24 keluarga.

Selain itu, PPS di Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi masih beroperasi bagi menempatkan 75 mangsa (19 keluarga).

Seramai 34 mangsa (enam keluarga) berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut manakala Dewan Masjid Kampung Serdang pula menjadi tempat berlindung kepada 74 mangsa (22 keluarga).

Keadaan cuaca ketika ini mendung di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Berita Harian X