Ahad, 28 Januari 2024 | 10:39pm

'Semoga KJH bertandang lagi ke Sarawak'

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak bersedia memberi sokongan terhadap penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata KJH terbukti membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada sosioekonomi serta pelancongan di negeri ini.

Menerusi karnival yang kali ini dikenali sebagai KJH Segulai Sejalai Sarawak kerana dianjurkan sepenuhnya bersama MTCP, katanya, ramai peniaga tempatan dapat menjana pendapatan dan memperoleh pulangan lumayan dalam acara berskala besar.

"Kerajaan Sarawak melalui MTCP sentiasa memberi sokongan penganjuran program dan pelbagai aktiviti membabitkan setiap lapisan masyarakat.

"Penganjuran karnival seperti ini memberi peluang begitu baik bagi kita meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan," katanya.

Pengunjung pada hari terakhir Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya, Kuching. - NSTP/NADIM BOKHARI
Pengunjung pada hari terakhir Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai di Dataran Perayaan Pekarangan Stadium Petra Jaya, Kuching. - NSTP/NADIM BOKHARI

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penutupan KJH Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman; dan Timbalan Setiausaha Tetap MTCP, Desmond Douglas Jerukan.

Abdul Karim bersyukur kerana sambutan terhadap jualan produk produk tempatan di 132 gerai KJH sangat memberangsangkan.

Katanya, kemeriahan penganjuran semula KJH selepas 11 tahun bukan sahaja dirasai penduduk Kuching malah ramai yang datang dari luar bandar raya ini termasuk Miri, Bintulu, Sibu serta Asajaya.

"Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana acara ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan yang datang begitu ramai sejak ia bermula pada Jumaat lalu.

"Syabas kepada semua warga kerja Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) khususnya Media Prima Omnia yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan penganjuran karnival kali ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Efendi berkata, KJH Segulai Sejalai Sarawak menarik lebih 300,000 pengunjung meskipun keadaan cuaca kurang baik semalam dan hari ini.

Acara kemuncak KJH Segulai Sejalai Sarawak dimeriahkan dengan Konsert Jom Heboh yang menampilkan barisan penyanyi popular Baby Shima, Khai Bahar, Hael Husaini, Indah Ruhaila, Rahmad Mega dan Rem.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, merasmikan Majlis Penutup Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kuching, malam ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, merasmikan Majlis Penutup Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai di Kuching, malam ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Berita Harian X