Ahad, 28 Januari 2024 | 9:01pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melihat replika pelan pembangunan projek selepas merasmikan Laman Tuanku di ibu negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melihat replika pelan pembangunan projek selepas merasmikan Laman Tuanku di ibu negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah rasmi taman Laman Tuanku

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan merasmikan Laman Tuanku di sini.

Terletak berhadapan Pintu 3 Istana Negara, Laman Tuanku adalah taman awam dengan pembinaannya mengambil inspirasi daripada sikap kasih sayang Seri Paduka berdua yang kerap menyantuni rakyat jelata.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif KH Land Sdn Bhd, Datuk Seri Jeff Yap, sebelum diiringi untuk bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat dan pengurusan tertinggi syarikat di galeri di laman itu.

KH Land adalah pemaju bagi pembinaan laman berkenaan.

Seri Paduka berdua kemudian dibawa melawat galeri yang memaparkan gambar dan replika pembangunan keseluruhan Laman Tuanku sebelum menandatangani plak perasmian.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian merasmikan majlis dengan melepaskan burung merpati sebagai gimik pelancaran Laman Tuanku, yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.6 hektar.

Laman Tuanku yang memiliki 13 laman mewakili negeri seperti Laman Darul Makmur dengan laman khas dikenali sebagai Laman Permaisuri serta dipenuhi tanaman rempah dan herba yang sering digunakan dalam masakan Tunku Azizah, dijangka menjadi tarikan pengunjung selepas dibuka kepada orang ramai pada Mac depan. – BERNAMA

Berita Harian X