Ahad, 28 Januari 2024 | 8:15pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) membelek buku berjudul ‘Test of A King’ selepas pelancarannya di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) membelek buku berjudul ‘Test of A King’ selepas pelancarannya di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

'Test of A King' kisah kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah kemudi negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melancarkan e-buku bertajuk Test of A King di Istana Negara, di sini.

Acara ringkas yang berlangsung di Bilik Seri Setia itu menyaksikan Seri Paduka berkenan mengimbas Kod QR bagi membolehkan buku 66 muka surat berkenaan dibaca melalui gajet telefon.

Kod QR buku ‘Test of A King’ yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika berkenan melancarkan e-book berkenaan di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Buku itu berkisar mengenai kebijaksanaan dan dedikasi baginda dalam mengharungi serta mengemudi negara melalui pelbagai cabaran selain ketidaktentuan politik.

Buku nukilan Penasihat Undang-Undang Yang di-Pertuan Agong, Datuk Abdul Rahman Putra Taha dan Penolong Pegawai Undang-Undang Istana Negara, Zulharry Abdul Rashid, itu turut mempamerkan koleksi penulisan tiga pakar perundangan negara.

Antaranya, bab satu bertajuk The Constitutional Position of His Majesty The Yang di-Pertuan Agong oleh pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Bab dua yang bertajuk The King Who Calmed The Storm Through The Rule of Law pula dihasilkan oleh bekas Presiden Badan Peguam Malaysia (2011-2013), Datuk Lim Chee Wee.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, menghasilkan bab tiga bertajuk Appointment of PM8 to PMX.

Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan e-buku itu dan bercadang menerbitkan buku bercetak selepas ini.

E-buku itu boleh diakses secara percuma di pautan https://drive.google.com/file/d/1mbAfAdIXzRylqciJ1qiHeLSyaLxmRPpi/view?u.... – BERNAMA

Berita Harian X