Ahad, 28 Januari 2024 | 6:49pm
Ahli MPT BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. - FAIL NSTP/DANIAL SAAD
Ahli MPT BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. - FAIL NSTP/DANIAL SAAD

'Jangan nafikan BERSATU ada cabaran dalaman' - Wan Saiful

KUALA LUMPUR: BERSATU perlu mengakui wujud cabaran dalaman parti hingga membawa kepada pengalihan sokongan secara beramai-ramai ahli Parlimen mereka kepada pentadbiran Kerajaan MADANI.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kepemimpinan BERSATU wajar bermuhasabah dan melihat secara mendalam puncanya.

"BERSATU jangan nafikan ada cabaran dalaman dan pucuk pimpinan perlu menggembleng tenaga bagi menyelesaikan cabaran ini kerana jika tidak diselesaikan, tak peliklah jika ia akan berterusan.

"Dalam masa sama, seluruh kepemimpinan perlu bermuhasabah kenapa di bawah pimpinan yang disokong ahli, masih berlaku perkara begini," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Wacana Intelek 'Pembangunan Ekonomi Bumiputera di Bawah Kerajaan MADANI' di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan yang terbaharu ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen BERSATU mengambil langkah sama iaitu Kuala Kangsar, Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang dan Labuan.

Mengulas pendedahan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang mendakwa lebih ramai ahli Parlimen blok Perikatan Nasional (PN) akan menyokong Perdana Menteri, Wan Saiful berkata, ia berada di luar pengetahuannya.

"Elok kita tunggu dan lihat. Saya tak rasa Ahli Parlimen Bukit Gantang ada maklumat penuh melainkan dia jadi perancang semuanya.

"Setakat yang saya tahu dia bukan jururancangnya dan saya tak tahu mana dia dapat maklumat berkenaan.

"Malam ini kita akan adakan mesyuarat dan bincangkan apa yang berlaku. Tengoklah reaksi Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti bagaimana," katanya.

Mengulas pandangan pelbagai pihak mengenai keperluan Muhyiddin meletak jawatan selepas dikatakan wujud dua kem dalam BERSATU dengana da yang mahukan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menerajui parti itu, Wan Saiful berkata, soal itu berbangkit.

Malah, katanya, sebelum ini Muhyiddin sendiri berhajat untuk melepaskan jawatan berkenaan.

"Nak cabar kepemimpinan Presiden atau (minta) letak jawatan itu platform pada perhimpunan agung parti. Dalam perhimpunan agung BERSATU yang lalu, semua sebulat suara mempertahankan Muhyiddin.

"Walaupun beliau berhajat melepaskan jawatan, ia ditolak dan itu menandakan sokongan diterima Presiden," katanya.

Menjawab isu wujud dua kem dalam BERSATU, beliau berkata, ia berkemungkinan timbul disebabkan berlaku perbezaan pandangan dalam pucuk pimpinan.

"Saya tak tahu macam mana cerita ini timbul. Jawatan Setiausaha Agung pun dilantik Presiden sebagaimana jawatan lain seperti Bendahari dan Ketua Penerangan. Saya tak nampak kemungkinan (ada dua kem). Mungkin ada berlaku perbezaan pandangan.

"Setahu saya, BERSATU bergerak sebagai satu pasukan dan sememangnya wajar ada pelbagai pandangan supaya hiduplah sedikit mesyuarat. Saya tak nampak ada yang tak sihat (sedang berlaku)," katanya.

Berita Harian X