Ahad, 28 Januari 2024 | 5:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

HKL siasat dakwaan ventilator rosak dalam rawatan pesakit

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyiasat dakwaan berkaitan kegagalan mesin bantuan pernafasan atau ventilator dalam rawatan pesakit seperti dilaporkan baru-baru ini.

Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan, berkata komplikasi rawatan perubatan yang menjejaskan pesakit akan disiasat melalui sistem pelaporan insiden.

Katanya, ia selari garis panduan pengurusan Laporan Insiden Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita dengan kerjasama syarikat konsesi hospital sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit dipantau.

"Ia termasuk memastikan peralatan terbabit diselenggara mengikut jadual supaya perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat diberi kepada pesakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata pihaknya melancarkan siasatan terhadap laporan seorang pesakit yang didakwa meninggal dunia dan seorang lagi diklasifikasi mati otak di dua wad berasingan di sebuah hospital di Lembah Klang, didakwa berpunca kerosakan mesin ventilator.

Memetik laporan portal tempatan yang hanya memetik sumber semalam, ia berlaku dalam tempoh seminggu di dua wad berasingan.

Menurut sumber dalam laporan berita itu, petugas perubatan cuba melakukan pertolongan cemas ke atas pesakit yang tidak sedarkan diri dan mendapati mesin ventilator yang digunakan gagal berfungsi.

Sumber laporan sama turut mendakwa dua lagi kes berkaitan kegagalan mesin ventilator berlaku.

Dalam satu kejadian, sumber mendakwa seorang pesakit didakwa dikatakan diselamatkan selepas pasukan perubatan melakukan bantuan penafasan kecemasan (CPR), manakala keadaan seorang lagi pesakit belum dapat disahkan.

Berita Harian X