Ahad, 28 Januari 2024 | 5:05pm

Kanak-kanak OKU curi tumpuan di reruai Dinoland

KUCHING: Seorang pengunjung cilik istimewa teruja ketika meneroka reruai Dinoland kendalian The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak, di sini.

Firash Syazwan Wan Seruji, berusia lapan tahun, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan bukan sahaja meminati dinosaur, malah kanak-kanak istimewa itu mampu mengingati lebih 100 watak haiwan itu dalam youtube 'All Dinosaur Showcase'.

Bukan setakat itu sahaja, ketika mengunjungi reruai Dinoland, kebolehan Firash meneka spesies dinosaur hanya dengan menyentuh badan haiwan robotik itu, membuatkan urus setia reruai dan pengunjung kagum dengan anugerah yang dimiliki kanak-kanak itu.

Ibunya, Sharifah Sadiah Wan Suut berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuching itu sangat meminati dinosaur dan gemar meluangkan masa lapang dengan mendengar Youtube berkaitan spesies dinosaur, haiwan liar, haiwan laut dan kenderaan.

Katanya, Firash adalah kanak-kanak OKU cacat penglihatan 100 peratus sejak berusia empat bulan kerana mengalami masalah saraf mata yang terpaksa menjalani rawatan sekali setahun.

"Firash mula meminati dinosaur sejak berusia lima tahun dan saya juga terkejut kerana dalam masa tidak sampai setahun dia mampu menghafal nama-nama haiwan berkenaan.

"Selain itu, Firash juga memiliki kebolehan menghafal ayat-ayat lazim dalam Al-Quran selain terpilih memimpin bacaan doa perhimpunan di sekolah," katanya ketika ditemui di reruai NSTP di KJH Segulai Sejalai, di sini.

Berkongsi pengalamannya ketika membawa Firash mengunjungi Karnival Jom Heboh, pada mulanya anaknya itu bersikap dingin kerana tidak selesa dengan cuaca yang sangat panas.

Namun selepas terdengar bunyi audio ngauman dinosaur robotik yang dipamerkan di reruai NSTP, dia sangat teruja dan meminta untuk berkunjung ke reruai berkenaan.

Sharifah Sadiah berkata, anaknya itu bertambah teruja selepas mengetahui terdapat lebih 10 dinosaur robotik yang dipamerkan dalam reruai yang mendapat sambutan di setiap penganjuran karnival berkenaan.

Pengunjung cilik istimewa cacat penglihatan, Firash Syazwan Wan Seruji bergambar bersama dinasour robotik ketika mengunjungi reruai Dinoland kendalian NSTP sempena Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto ASRIZAL ARIS
Pengunjung cilik istimewa cacat penglihatan, Firash Syazwan Wan Seruji bergambar bersama dinasour robotik ketika mengunjungi reruai Dinoland kendalian NSTP sempena Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - Foto ASRIZAL ARIS
Berita Harian X