Ahad, 28 Januari 2024 | 3:58pm
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Aziz ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sumbangan Memorial Inspirasi Ungku Aziz di Bangunan Canselori Universiti Malaya. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Aziz ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sumbangan Memorial Inspirasi Ungku Aziz di Bangunan Canselori Universiti Malaya. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Universiti Malaya perlu dana RM15 juta bagi wujudkan pusat intelektual baharu

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya memerlukan dana sekurang-kurangnya RM15 juta bagi mengubahsuai dan memulihara kediaman Naib Canselor dalam usahanya mewujudkan pusat kegiatan intelektual baharu universitinya.

Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Prof Datin Seri Dr Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, berkata tiada tempoh masa ditetapkan bagi kutipan dana, tetapi proses pengubahsuaian dijangka bermula dua bulan lagi.

"Pengurusan universiti memberi kebenaran mengubahsuai kediaman bersejarah dan kita harap tempoh sebulan dua ini dana berkenaan diperoleh dan kerja pengubahsuaian dapat dimulakan hujung tahun.

"Seterusnya, kita bercadang Memorial Inspirasi Ungku Aziz

: The U ini dirasmikan Canselor Universiti Malaya yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, berlangsung Majlis Sumbangan Memorial Inspirasi Ungku Aziz yang dirasmikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Bangunan Canseleri, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Pada majlis sama, dana pertama tabung memorial itu disumbangkan Yayasan Jcorp berjumlah RM10,000 yang disampaikan Ketua Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati sambil disaksikan Zeti Akhtar.

Hari ini (28 Januari) juga hari ulang tahun kelahiran bapa Zeti, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pak Ungku yang meninggal dunia pada 15 Disember 2020.

Suhaiza Hanim berkata, pihaknya bertanggungjawab menyahut legasi kecemerlangan untuk mewujudkan 'The U' yang berpotensi menjadi mercu tanda baharu dunia peradaban tokoh intelektual pendidikan dan budaya.

"Melaluinya juga kita dapat memperkukuhkan Universiti Malaya sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan dunia. The U sebenarnya diilhamkan beliau ketika memberikan syarahan perdana, Hari ini untuk Mu yang beberapa kali diulang 'hadiah saya pada pagi ini dan saya berdoa saudara saudari akan capai kecemerlangan orang ber-ilmu (OBI).

"Justeru, OBI akan dibangunkan UAC yang antara lain untuk kegunaan Persatuan Mantan Profesor Universiti Malaya di kediaman Naib Canselor yang bakal diubahsuai nanti," katanya.

Pengubahsuaian kediaman bersejarah Ungku Aziz itu juga bakal menjadi simbol kecemerlangan dan dedikasi kepada Allahyarham serta tempat berhimpun pemikir, pelajar dan masyarakat untuk berinteraksi, belajar dan mendapatkan inspirasi.

Setiap sudut rumah itu akan memperincikan perjuangan, pencapaian dan sumbangan Ungku Aziz, selain memberikan peluang kepada setiap pengunjung untuk merenung kembali tentang makna sebenar pendidikan, dedikasi dan pengorbanan demi kebaikan masyarakat.

Kediaman yang terletak di atas tanah tinggi di Susur Kenangan off Jalan Elmu berkeluasan lebih kurang 0.48 hektar, tapak rumah itu akan mengekalkan seni bina moden warisan abad ke-20 yang menggabungkan seni bina Barat dan seni bina vernakular Melayu.

Sementara itu, Zeti Akhtar dalam ucapan perasmiannya berkata, memorial itu mencerminkan penghormatan kepada Allahyarham bapanya dan pada masa sama, menjadi inspirasi kerana peranan sebagai pemikir dan penyelidik ulung dalam bidang ekonomi, dengan banyak karyanya mempengaruhi dasar ekonomi negara.

"Pusat Ungku Aziz ditubuhkan beliau sebagai pusat kajian kemiskinan pada 2006 juga menjadi tonggak penting dalam perjalanan kerjaya dan pencapaiannya

"Dalam usahanya untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara, Allahyarham banyak meluangkan masa dan usaha dengan harapan ia akan menjadi pusat pengetahuan dan penyelidikan yang akan membantu mengatasi isu kemiskinan negara ini.

"Pusat Ungku Aziz mungkin menjadi platform dalam usaha untuk mencapai keadilan sosial dan peningkatan kualiti hidup bagi semua lapisan masyarakat," katanya.

Berita Harian X