Ahad, 28 Januari 2024 | 3:42pm

Pengunjung Karnival Jom Heboh Sarawak 'kalis air'

KUCHING: Pengunjung Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini, bagaikan 'kalis air' apabila tidak menghiraukan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Suasana itu tidak menjejaskan semangat pengunjung yang rata-rata masyarakat setempat untuk menyokong dan memeriahkan KJH yang kali terakhir diadakan di negeri itu pada 2013.

Mat Azmun Ujang, 37, merancang dari awal untuk membawa keluarga ke KJH pada hari terakhir kerana mengetahui lebih banyak aktiviti menarik selain jualan murah diadakan di setiap reruai yang mengambil bahagian.

"Saya bawa anak kerana tahu KJH sesuai untuk seisi keluarga dan pernah berkunjung pada penganjuran sebelum ini.

"Kebiasaannya hari terakhir ada banyak jualan murah dan artis yang 'best' (terkenal) akan tampil," katanya ketika ditemui di tapak karnival, di sini, hari ini.

Kumpulan Anak Seri Budaya membuat persembahan pada Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai. - NSTP/ ASRIZAL ARIS
Kumpulan Anak Seri Budaya membuat persembahan pada Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai. - NSTP/ ASRIZAL ARIS

Halijah Hama, 41, teruja kerana dapat melihat dan bergambar dengan sekumpulan penari yang hadir menggayakan pakaian tradisional pelbagai etnik Sarawak.

"Saya dari Johor Bahru, seorang yang meminati dengan budaya, pakaian dan hasil seni tradisional etnik di Malaysia.

"Saya pernah ke Sabah dan bergambar dengan kumpulan yang memakai pakaian tradisional pelbagai etnik di sana. Apabila di KJH, ia melengkapkan lagi koleksi saya bergambar dengan kumpulan etnik ini," katanya.

Pada hari terakhir KJH hari ini, Studio Tonton Drama Sangat menampilkan 11 kumpulan penari pelbagai etnik di Sarawak yang membuat persembahan.

Reruai juga dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi, pelakon dan pembaca berita untuk beramah mesra dengan pengunjung.

Acara kemuncak Konsert Jom Heboh yang dinanti-nantikan akan berlangsung jam 9 malam ini.

Antara barisan penyanyi popular yang akan menghiburkan pengunjung adalah Baby Shima, Khai Bahar, Hael Husaini, Indah Ruhaila, Rahmad Mega dan Rem.

Pengunjung terus memenuhi hari terakhir Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di Kuching. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
Pengunjung terus memenuhi hari terakhir Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di Kuching. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
Berita Harian X