Ahad, 28 Januari 2024 | 2:29pm
Mereka yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun sudah berkemampuan disifatkan sebagai tamak, tidak beretika dan memakan hak orang lain secara haram. - Foto hiasan NSTP
Mereka yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun sudah berkemampuan disifatkan sebagai tamak, tidak beretika dan memakan hak orang lain secara haram. - Foto hiasan NSTP

Tamak, makan hak orang lain jika masih terima zakat walau sudah mampu

KUALA LUMPUR: Mereka yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun sudah berkemampuan disifatkan sebagai tamak, tidak beretika dan memakan hak orang lain secara haram.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jika seseorang mengambil hak orang lain dan tidak mengembalikan kepada pemiliknya yang sebenar, maka dia berdosa.

"Di akhirat nanti orang begini akan dihumban ke dalam api neraka yang dahsyat dan amaran ini terdapat dalam hadis Nabi," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai perbuatan individu yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun sudah berkemampuan dan tidak lagi layak menerimanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan pelaksanaan proses pemutihan akan dipercepatkan untuk memastikan asnaf benar-benar layak dan memerlukan saja yang menerima bantuan zakat. Ini susulan dapatan bahawa ada yang sudah berkemampuan hanya berdiam diri dan terus terima zakat secara bulanan.

Menjelas lanjut, Wan Salim berkata, majoriti fuqaha' pelbagai mazhab bersepakat tentang tidak harus mengeluarkan zakat kepada selain lapan asnaf yang dinyatakan dalam ayat 60 Surah at-Taubah.

Golongan asnaf tinggal bersama anak berpendapatan tetap

Sementara itu di Kuala Terengganu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail, berkata ada penerima zakat terkeluar daripada kategori asnaf apabila mereka tinggal bersama anak-anak berpendapatan tetap.

Katanya, golongan berkenaan terkeluar daripada kategori asnaf dan tidak lagi terima zakat selepas pemutihan dilakukan.

"Hasil pemutihan dilakukan, kita dapati ada penerima sudah meninggal dunia dan ada antara mereka berpindah serta tinggal bersama anak-anak di luar negeri ini," katanya.

Selepas pemutihan, seramai 22,500 golongan asnaf layak menerima bantuan zakat melalui beberapa kategori, termasuk bantuan sara hidup dan bulanan.

"Jumlah asnaf yang layak menerima bantuan selepas pemutihan dilakukan adalah kalangan ibu tunggal, warga emas dan miskin," katanya.

Berita Harian X