Ahad, 28 Januari 2024 | 1:50pm
Adnan pada Majlis Solidariti CUEPACS Zon Timur Bersama Presiden CUEPACS Malaysia, malam tadi. - NSTP/NAZDY HARUN
Adnan pada Majlis Solidariti CUEPACS Zon Timur Bersama Presiden CUEPACS Malaysia, malam tadi. - NSTP/NAZDY HARUN

Segera naikkan kadar gaji minimum, tak perlu tunggu SSPA siap - CUEPACS

KUALA NERUS: CUEPACS menggesa kerajaan segera memperkenalkan kadar gaji minimum yang lebih baik untuk penjawat awam, tanpa menunggu hasil kajian dan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilihat berkemungkinan 'terlalu lambat' nanti.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata langkah itu adalah penting, terutama bagi membolehkan penjawat awam akan datang mampu bertahan menghadapi peningkatan kos sara hidup sekiranya kerajaan menguatkuasakan pemansuhan pencen bagi kakitangan awam baharu berstatus tetap selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, adalah tidak adil untuk kakitangan awam dianggap sebagai beban negara sedangkan golongan itu hanya hidup ala kadar dengan gaji sedia ada, ditambah lagi dengan isu kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

"Dengan gaji kecil, kami tidak mampu menyediakan lebih kemudahan kepada tanggungan dari segi perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan atau belanja harian.

"Oleh itu, kami menolak apabila kerajaan mahu memansuhkan skim saraan. Isunya ialah kenapa mahu memansuhkan (pencen) ketika kadar gaji penjawat awam masih rendah dan tidak mampu memudahkan keluarga sebelum bersara," katanya kepada pemberita pada Majlis Solidariti CUEPACS Zon Timur Bersama Presiden CUEPACS Malaysia, di sini, malam tadi.

Justeru, Adnan berkata, kenaikan gaji minimum penjawat awam tidak wajar ditangguhkan sehingga kajian SSPA disiapkan.

Beliau menjelaskan bahawa hanya dengan kenaikan gaji itu, penjawat awam boleh memiliki simpanan untuk hari tua sekiranya pemansuhan pencen dilaksanakan kelak.

Bagaimanapun, katanya, CUEPACS agak kecewa dengan pengumuman kerajaan berhubung perkara itu yang dibuat tanpa kajian bersama, sekali gus dibimbangi menyebabkan sektor perkhidmatan awam pada masa akan datang tiada sambutan.

"Kami berharap masih ada ruang perbincangan dengan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari kaedah terbaik, seterusnya menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas," katanya.

Berita Harian X