Ahad, 28 Januari 2024 | 1:39pm

Tempuh perjalanan 700km untuk hadir Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak

KUCHING: Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak yang kembali menemui warga bandar raya ini selepas 11 tahun, turut menggamit kehadiran penduduk di bahagian lain negeri itu.

Rakyat Sarawak termasuk dari wilayah tengah turut tidak melepaskan peluang untuk bersama meraikan kemeriahan program anjuran Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama sepenuhnya kerajaan Sarawak itu.

Yasa Tambek, antara rakyat Sarawak yang sanggup menempuh perjalanan jauh dari kampungnya dalam daerah Dalat, Mukah, semata-mata untuk merasai sendiri kemeriahan karnival yang sering menjadi buat mulut ramai ketika diadakan di Semenanjung Malaysia.

Penghulu Kampung Medong, Dalat itu berkata, peluang itu jarang diperolehi dan beliau bersama isteri dan anak datang ke Kuching yang jaraknya kira-kira 700 kilometer dari kampungnya untuk mengunjungi Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak.

"Saya datang ke sini bersama anak-anak, menantu serta cucu kerana teruja untuk merasai apa yang orang ramai perkatakan selama ini.

"Memang meriah, kita pun puas dan seronok selepas berpeluang berada di karnival ini," katanya.

Pengunjung yang hadir ke Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di Kuching. - NSTP/Mohd Roji Kawi
Pengunjung yang hadir ke Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya di Kuching. - NSTP/Mohd Roji Kawi

Pengunjung mengambil peluang bergambar di Dataran Perayaan Petra Jaya biarpun hujan di tapak Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - NSTP/Asrizal Aris
Pengunjung mengambil peluang bergambar di Dataran Perayaan Petra Jaya biarpun hujan di tapak Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak. - NSTP/Asrizal Aris

Seorang lagi pengunjung dari luar Kuching, Collin Jelai dari Saratok, kira-kira 400 kilometer dari Kuching pula berkata, jalan raya yang semakin lancar dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo memudahkan penduduk yang tinggal di bahagian lain untuk menghadiri acara berskala besar di ibu negeri.

"Acara besar seperti ini biasanya diadakan di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Miri atau Bintulu.

"Kami yang tinggal di bandar kecil hanya mampu mendengarnya kerana jarak yang jauh, tetapi sejak jalan raya semakin baik dan perjalanan pula lancar, saya memilih untuk memandu ke Kuching semata-mata untuk membawa keluarga mengunjungi karnival ini," katanya.

Pengusaha kebun kelapa sawit itu berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak yang menyediakan kemudahan jalan raya yang baik dan sempurna untuk menghubungkan semua daerah seluruh Sarawak.

"Terima kasih juga kepada penganjur Media Prima Berhad dari Kuala Lumpur yang membawakan acara ini ke Sarawak kerana selama ini kami hanya menontonnya di televisyen ketika ia dianjurkan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Kumpulan Anak Seri Budaya membuat persembahan pada Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai. - NSTP/Asrizal Aris
Kumpulan Anak Seri Budaya membuat persembahan pada Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai. - NSTP/Asrizal Aris

Yasa Tambek (kiri) bersama keluarganya merakam gambar kenangan di reruai Dino Land kendalian The New Straits Times Press (NSTP) pada Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak anjuran Media Prima Berhad di Kuching. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Berita Harian X