Ahad, 28 Januari 2024 | 1:12pm
Nik Nazmi pada majlis perasmian Program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di Dewan Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah (SMATD) di sini, hari ini. - Foto AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR
Nik Nazmi pada majlis perasmian Program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di Dewan Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah (SMATD) di sini, hari ini. - Foto AHMAD MUKHSEIN MUKHTAR

Tiada pembalakan, penerokaan haram di hutan Ulu Muda - Nik Nazmi

KULIM: Kerajaan mengesahkan tiada kegiatan pembalakan dan penerokaan haram dilakukan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda sehingga menjejaskan sumber air domestik seperti yang didakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati tiada sebarang kegiatan melanggar undang-undang di kawasan berkenaan terutama berdekatan sumber air di Tasik Muda.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan terus memantau Hutan Simpan Ulu Muda berikutan kawasan itu dianggap sebagai sangat sensitif kerana menjadi sumber air utama kepada penduduk di tiga negeri sejak sekian lama.

"Kita ada minta laporan daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan laporan awal yang diterima ialah tidak ada aktiviti pembalakan atau penerokaan haram.

"Tetapi kita akan terus teliti sebab kita terima aduan daripada NGO dan ada yang data imej satelit yang perlu diteliti lanjut untuk memastikan memang betul tidak ada pencerobohan.

"Kita juga memantau secara dekat sebab ia satu lembangan yang sangat sensitif melibatkan bekalan air untuk tiga negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di Dewan Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah (SMATD) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan supaya badan khas menguruskan sumber air di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Nik Nazmi menjelaskan, perkara itu agak sukar dilaksanakan kerana membabitkan undang-undang.

Katanya, peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan menetapkan pengurusan sumber air adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan dalam isu ini, Kerajaan Negeri Kedah mempunyai hak ke atas Hutan Simpan Ulu Muda.

"Itu (badan urus Ulu Muda) bukan cadangan baharu, tetapi realitinya adalah Perlembagaan Persekutuan menyebut pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Jadi sebab itu pendekatan yang kita ambil ialah untuk menggalakkan perbincangan antara kerajaan negeri terbabit.

"Sebagai contoh ketika bekalan air dari Perak hendak disalurkan ke Pulau Pinang, ada beberapa perbezaan pandangan, akhirnya apabila kedua-dua kerajaan negeri bersetuju maka baharu ia boleh dilaksana," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan isu bekalan air rentas sempadan negeri akan timbul lebih banyak pada masa hadapan, menyebabkan perlunya perbincangan antara pihak berkuasa negeri terbabit.

Terdahulu, NGO alam sekitar, RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut.

Kajian yang dilakukan melalui pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu, dan mendapan didapati semakin membesar pada Oktober lalu.

Masalah itu dijangka akan menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Berita Harian X